Ebit Lew bantu dua beradik masuk bersekolah

Hebahkan !!!

PULAU TIOMAN – Kisah kesusahan dua beradik di Pulau Tioman yang tular di media sosial mendapat perhatian pendakwah bebas, Ebit Lew apabila beliau ke sana bagi menghulurkan bantuan.

Menerusi perkongsian pada Facebook beliau, Ebit sebak dengan dua beradik itu, Yaya, 10, dan kakaknya, 13, yang tidak bersekolah.

“Pukul 3 pagi dari Kuala Lumpur terus bergerak ke sana. Sampai rumahnya yang sangat uzur keadaannya, tandas pun kecil di luar rumah.

“Ibunya seorang diri besarkan mereka dengan pelbagai ujian hidup. Yaya teringin nak belajar seperti anak yang lain. Menangis cerita keinginannya nak belajar tapi masalah pendaftaran,” katanya pada hantaran tersebut hari ini.

Ebit berkata, kedua-dua mereka gembira apabila beliau mahu membantu Yaya dan kakaknya masuk ke sekolah dan tinggal di asrama.

“Seronok Yaya dan kakaknya. Terus bersiap-siap untuk ikut kami. Seharian bawa beli-belah dan menguruskannya.

“Sedih rasa bila dua anak ini sebaya anak saya dapat masuk belajar. Kami juga akan bantu perbaiki rumah ibunya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ebit turut berpesan supaya dua beradik itu belajar dengan rajin serta menjadi anak yang solehah dan baik.

“Semoga Allah mudahkan segalanya. Ramai lagi nasib anak begini di luar sana. Mereka anak yang baik. Semoga kita semua dapat bantu semua anak-anak di luar sana,” katanya.

© Kosmo Online

Leave a Reply