Rafidah Aziz letak jawatan pengerusi AirAsia X

Hebahkan !!!

AirAsia X Berhad hari ini mengumumkan peletakan jawatan Rafidah Aziz sebagai pengerusi syarikat penerbangan tambang murah itu berkuat kuasa 1 Julai, 2022.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AirAsia X menjelaskan peletakan jawatan itu dibuat memandangkan bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu sudah hampir mencapai tempoh perkhidmatan yang dibenarkan sebagai pengarah bebas.

“(Tan Sri) kemudian perlu mematuhi perubahan status, daripada ahli lembaga bebas, kepada pengarah bukan bebas dan keperluan lain yang berikutkan,” kata makluman itu.

Berdasarkan Laporan Tahunan AirAsia X 2021, Rafidah dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif pada 31 Mac, 2011, dan dilantik semula sebagai pengerusi kanan bebas bukan eksekutif semasa syarikat itu disenarai awam pada 10 Julai, 2013.

Beliau juga merupakan pengerusi jawatankuasa pencalonan dan imbuhan serta pengerusi jawatankuasa pengurusan risiko syarikat itu.

Menurut laporan itu juga, butiran imbuhan pengarah syarikat bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun, 2021 turut menunjukkan bahawa Rafidah menerima bayaran RM401,500, yang merangkumi RM382,500 dalam bentuk fi dan elaun sebanyak RM19,000.

Penerimaan bayaran ini tersebut turut dipersoalkan orang ramai terutama bagi penumpang yang masih lagi menunggu tuntutan bayaran balik tiket penerbangan yang dibatalkan sejak 2020 akibat penularan Covid-19.

Syarikat penerbangan itu turut menjelaskan bahawa bayaran balik secara tunai tidak dapat dilakukan disebabkan undang-undang apabila syarikat itu telah melalui proses penstrukturan hutang di mahkamah.

Sementara itu, dalam makluman lain kepada Bursa Malaysia, AirAsia X turut mengumumkan pelantikan Tunku Mahmood Fawzy Tunku Muhyiddin sebagai pengarah bebas bebas bukan eksekutif berkuat kuasa serta-merta.

Leave a Reply