Cerita Tajuddin, Annuar Musa dan Nazri Aziz, apa hasilnya? – Ahmad Maslan

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengingatkan kembali ‘jasa’ 15 orang ahli parlimen yang menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang akhirnya membolehkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri baharu kini.

Maka jelasnya, semua pihak harus berpegang pada realiti hari ini dimana Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan Perdana Menteri yang dilantik sehinggakan membuka cerita mengenai Akuan Bersumpah (SD) kembali.

“SD apa? Jadi ke perkara itu? Perdana menterikan DSIS (Datuk Seri Ismail Sabri). Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ke perdana menteri?

“Siapa 15 ahli Parlimen yang desak dan akhirnya Ismail Sabri jadi perdana menteri? Tajuddin (Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman) ke?” katanya dilapor media.

Semalam, bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tajuddin yang juga Duta Besar Malaysia ke Indonesia mendedahkan Ahmad Zahid mengetuai bagi menandatangani SD dalam kalangan Ahli Parlimen UMNO bagi menyokong Presiden PKR, Anwar sebagai Perdana Menteri.

Pada masa sama, Ahmad berkata hasil perjuangan Ahmad Zahid dalam UMNO dibuktikan apabila wakil parti itu berjaya dilantik sebagai perdana menteri.

“Dalam perjuangan yang penting adalah hasilnya…perjuangan presiden, dibantu timbalan dan ahli MKT antaranya kita menang tujuh pilihan raya.

“Yang terbesar ialah apabila 15 ahli Parlimen mendesak yang akhirnya Ismail Sabri menjadi perdana menteri.

“Ini cerita Presiden UMNO dan hasilnya, apa cerita Tajuddin, Annuar Musa (Tan Sri) dan Mohamed Nazri Aziz (Datuk Seri)…cerita mereka itu apa hasilnya?” katanya.

©Utusan Online

Leave a Reply