Mr DIY sasar tambah 180 cawangan bagi tahun 2022

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Pelan pengembangan Mr DIY Group (M) Bhd. dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan kumpulan bagi tahun ini.

Penganalisis CGS-CIMB Research, Walter Aw berkata, kumpulan menyasarkan untuk membuka 180 cawangan baharu pada 2022 bagi mengakhiri tahun ini dengan 1,080 cawangan.

Pada suku pertama, katanya, kumpulan telah menambah sebanyak 47 cawangan baharu di seluruh negara.

“Kami percaya kebanyakan cawangan baharu ini akan memberi fokus kepada jenama MR DIY, memandangkan ia melihat banyak ruang untuk membuka lebih banyak cawangan MR DIY terutama di kawasan luar bandar,” katanya dalam nota kajian hari ini.

Susulan prospeknya yang dilihat cerah, CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ terhadap Mr DIY dengan harga sasaran lebih rendah pada RM2.40 daripada sebelum ini, RM2.70 sesaham.

Kumpulan dijangka merekodkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) pendapatan sesaham (EPS) teras yang kukuh sebanyak 15.4% bagi tahun kewangan 2021 (FY21) hingga FY24, dipacu pelan pengembangan cawangan dan purata jualan setiap cawangan yang lebih tinggi.

Aw menjangkakan kumpulan akan meraih manfaat daripada pemulihan pengunjung dan purata jualan setiap cawangan, apabila kesemua 947 cawangan kembali beroperasi secara penuh sejak suku kedua 2022.

Selain itu, katanya, ia turut menjangkakan kumpulan mendapat kelebihan daripada kenaikan harga siling, memandangkan Mr DIY sudah membuat pelarasan harga sejak suku kedua 2022 bagi melepaskan kos input dan pengangkutan yang lebih tinggi.

“Kami berpendapat Mr DIY meraih manfaat utama daripada aktiviti penurunan dagangan pengguna berikutan tekanan inflasi.

“Di sebalik kenaikan harga, kami percaya percaya perbezaan produk antara Mr DIY dan pemain lain masih besar, menjadikan produknya lebih menarik.

“Mr DIY mampu menetapkan harga produknya dengan sangat menarik kerana ia mempunyai skala ekonomi (daripada jumlah kiraan kedainya sebanyak 947 cawangan) dan kecekapan operasi daripada mendapatkan produk dalam jumlah pukal dengan cara yang lebih menjimatkan,” jelasnya.

Namun begitu, Aw mengurangkan unjuran pendapatan sesaham bagi tahun kewangan berakhir 2022 (FY22) hingga FY24 antara 3.9 hingga 5% selepas mengambil kira kos input dan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi.

©Astro Awani

Leave a Reply