Trafik penerbangan antarabangsa meningkat lebih 50 peratus

Hebahkan !!!

PUTRAJAYA – Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) merekodkan peningkatan lebih 50 peratus trafik antarabangsa di kesemua lapangan terbang tempatan di bawah kendaliannya.

Berita gembira itu disahkan Pengarah Urusannya, Datuk Iskandar Mizal Mahmood menerusi kenyataan bagi memaklumkan mengenai prestasi semasa operator terminal udara tersebut.

“Selaras pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu, kami merekodkan purata bulanan yang tinggi malah ada permintaan baik untuk syarikat penerbangan kembali pulih,” katanya.

Lonjakan itu ujarnya, turut dibantu dengan pelancaran tambahan sebuah lagi operator baharu, Lanmei Airlines dari Kemboja serta penyambungan semula penerbangan lima syarikat lain.

Ini menyaksikan sejumlah 43 syarikat penerbangan asing beroperasi di Malaysia terutama hab utama iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor.

Uniknya, penerbangan sulung Lanmei Airlines pada 28 Mei lalu itu menyaksikan ia operator ketiga selepas Malaysia Airlines dan AirAsia menghubungkan Phnom Penh-Kuala Lumpur.

Sementara itu, lima lagi operator antaranya ialah syarikat penerbangan kos rendah terbesar India, IndiGo yang kembali menyambung jadual dari Chennai dan Tiruchirappalli ke KLIA.

Tidak ketinggalan ujarnya, ialah Smile Airways dari Thailand untuk laluan Bangkok-Pulau Pinang manakala baki tiga lagi melibatkan penyambungan balik ke Kota Kinabalu di Sabah.

Ia melibatkan operator udara tambang rendah, Philippines AirAsia dari Filipina yang terbang dari ibu kota Manila serta Jin Air dari Korea Selatan untuk penerbangan terus dari Incheon.

Turut beroperasi semula ialah Royal Brunei Airlines yang juga menyambung penerbangan rutinnya antara laluan Bandar Seri Begawan ke Kuching, Sarawak selain ke Kota Kinabalu.

“Mei lalu, MAHB mencatatkan sejumlah 1.03 juta penumpang antarabangsa di Malaysia, iaitu mencecah sejuta buat julung kali sejak sempadan negara ditutup pada Mac 2020,” katanya.

Iskandar Mizal menambah, kemasukan operator asing yang baharu memberi isyarat trend positif kepada landskap pertumbuhan penerbangan dan berharap banyak lagi akan turut serta.

Di samping itu ujarnya, MAHB juga menyaksikan laluan baharu pada bulan lepas antaranya paling ditunggu ke Doha, Qatar oleh Malaysia Airlines dan Subang-Tioman oleh SKS Airways.

AirAsia pula telah menyambung balik laluan antara KLIA ke Chiang Mai, Thailand; Male, Maldives; Bengaluru, Kolkata dan Kochi di India serta Sihanoukville dan Siem Reap di Kemboja.

Operator kos rendah popular berkenaan juga mengumumkan penyambungan semula laluan antara Miri di Sarawak ke Changi, Singapura selain KLIA ke Bandar Seri Begawan di Brunei.

Sepanjang Mei lalu katanya, MAHB merekodkan pergerakan penumpang berjumlah 7.1 juta orang untuk kesemua 39 lapangan terbang di negara ini dan Sabiha Gokcen Istanbul, Turki.

“Prestasi ini berjaya melepasi paras tujuh juta buat kali pertama dalam tempoh dua tahun dengan terminal udara di Malaysia sahaja mencatatkan angka 4.57 juta,” kata Iskandar Mizal.

Pencapaian luar biasa tersebut dijana baik hasil daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri serta perayaan Gawai dan Kaamatan di Sabah dan Sarawak selain cuti musim panas di Turki.

Momentum trafik pada Mei lalu bahkan masih berterusan sepanjang bulan ini dengan peningkatan 11 peratus pergerakan penumpang secara purata setiap hari kepada 163,000 orang.

©Utusan Online

Leave a Reply