Najib cadang kerajaan guna penjimatan subsidi minyak untuk bantu golongan berpendapatan rendah

Hebahkan !!!

 

PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan sepatutnya menggunakan penjimatan daripada subsidi minyak dan duti import minyak sawit untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

“Namun melihat kadar inflasi yang tinggi yang dialami seluruh dunia sekarang, ia tidak sesuai untuk kita tarik subsidi minyak secara sepenuhnya pada ketika ini,” katanya dalam catatan di Facebook.

Sebaliknya, beliau mencadangkan kerajaan menaikkan harga petrol RON95 sebanyak 10 atau 20 sen, tanpa menjejaskan harga diesel kerana ia berkait langsung dengan kos pengeluaran dan pengangkutan yang akan memberi lebih banyak tekanan kepada kadar inflasi.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, kerajaan juga patut menaikkan duti eksport dan cukai durian runtuh bagi sektor minyak sawit ketika harga dan permintaan global yang tinggi.

“Penjimatan subsidi 10 sen atau 20 sen bersama hasil tambahan cukai sawit serta penjimatan daripada langkah tidak lagi memberi subsidi untuk ayam dan telur boleh disalurkan sebagai bantuan tunai kos sara hidup bagi golongan B40 dan M40 setiap tiga bulan, selagi kadar inflasi masih tinggi.”

Beliau memberi contoh tindakan kerajaan Barisan Nasional terdahulu mengapungkan harga minyak dan menggunakan penjimatan itu untuk menyalurkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pada kadar RM500 hingga RM2,000 setahun.

Beliau berkata demikian susulan keputusan kerajaan menghentikan subsidi ayam dan telur mulai 1 Julai, selain pemansuhan kawalan harga siling ayam dan subsidi minyak masak berbotol (2kg, 3kg dan 5kg) dalam usaha menstabilkan bekalan makanan buat jangka panjang.

Najib berkata, sistem subsidi lebih memanfaatkan golongan kaya yang disifatkannya “ibarat orang kaya ambil makanan daripada food bank”.

“Orang T20 tak kisah dan tak terkesan jika harga makanan tinggi, tapi ia merupakan tekanan yang besar bagi golongan B40 dan sebahagian besar golongan M40.”

Katanya, kerajaan sedang memberi subsidi sekitar RM2.50 bagi setiap liter RON95 yang djual pada harga RM2.05.

“Bermaksud, jika seorang dari golongan T20 mengisi 50 liter minyak RON95 bagi kereta mewahnya, kerajaan sebenarnya memberi subsidi sebanyak RM125 setiap kali orang kaya isi minyak.

“Sekiranya orang kaya ini isi minyak tiga kali sebulan, bermaksud kerajaan memberi bantuan RM4,500 setahun bagi orang kaya – lagi tinggi berbanding BR1M kepada B40 dan M40.”

Beliau turut meminta kerajaan menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja secepat mungkin kerana ia adalah antara faktor utama menyebabkan pengeluaran berkurangan dan harga barang meningkat.

©Free Malaysia Today

Leave a Reply