Samirah dan dua remaja dibebaskan dari tuduhan membunuh Nazrin Hassan

Hebahkan !!!

SHAH ALAM – Samirah Muzaffar dan dua remaja berusia 16 dan 19 tahun boleh menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini membebaskan mereka daripada pertuduhan membunuh Allahyarham Nazrin Hassan pada empat tahun lalu.

Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir prosiding peringkat pendakwaan.

Samirah, 47, dan dua remaja berkenaan mengaku tidak bersalah pada 12 Mac 2019 atas pertuduhan membunuh Nazrin yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund ketika kejadian.

Mereka bertiga didakwa melakukan kesalahan tersebut dekat sebuah rumah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 13 Jun 2018 pukul 11.30 malam hingga 4 pagi keesokannya.

Ketiga-tiga mereka dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Turut berhadapan tuduhan sama ialah seorang pembantu rumah warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang dipercayai bersubahat dengan jenayah tersebut dan sepatutnya dituduh bersama, namun masih lagi bebas.

Namun, dua remaja yang disabitkan dalam kes tersebut dibebaskan pada 27 Mac dengan jaminan sebanyak RM50,000 bersama dua penjamin berbeza bagi setiap tertuduh.

Samirah yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan Rahmat Hazlan walau bagaimanapun, dibenarkan diikat jamin sebanyak RM500,000 oleh Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan turut menolak permohonan jaminannya.

Prosiding dikembalikan oleh Timbalan Pendakwa, Mohd. Asnawi Abu Hanipah, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail dan Nur Sabrina Zubairi.

©Utusan Online

Leave a Reply