PKR buat keputusan tidak akan bekerjasama dengan Azmin Ali

Hebahkan !!!

Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR memutuskan tidak akan berbincang atau bekerjasama dengan Datuk Seri Azmin Ali, kata Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil.

Menurut Fahmi keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MPP yang berlangsung malam tadi.

“MPP memutuskan bahawa Keadilan tidak akan berbincang atau bekerjasama dengan Azmin Ali, yang dianggap oleh anggota, penyokong parti serta orang ramai sebagai salah satu punca utama berlakunya pengkhianatan Langkah Sheraton,” katanya dalam kenyataan media.

Jumaat lalu ada portal berita melaporkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu dikatakan bertemu dua wakil PKR di Hotel Sheraton di Petaling Jaya.

Perkara itu dibongkar beberapa pemimpin kanan PKR yang tidak mahu identiti mereka didedahkan.

Bagaimanapun Azmin ketika ditanya pemberita semalam berkata dia tidak ingat hotel mana dikunjunginya dan siapa ditemui pada minggu lalu berikutan jadual kerja yang padat.

“Sheraton Hotel? Saya pergi banyak hotel, saya tidak ingat hotel yang mana,” katanya seperti dipetik Malaysia Gazette.

Sebelum ini, seorang lagi pemimpin Bersatu, Mohd Rashid Hasnon berkata adalah mustahil untuk dia dan Azmin meninggalkan parti mereka.

Mohd Rashid menyifatkan dakwaan itu sebagai propaganda murahan untuk melemahkan parti terbabit.

Sementara itu, Fahmi berkata MPP PKR turut bermesyuarat malam tadi berhubung pemilihan parti itu baru-baru ini dan persiapan Kongres PKR.

Katanya, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) akan mengumumkan secara rasmi kepimpinan yang baru cabang serta pimpinan utama PKR dalam masa terdekat.

“Saf kepimpinan baru ini perlu bergerak pantas, sederap dan dalam satu pasukan yang kukuh bagi menghadapi musuh-musuh politik Keadilan pada Pilihan Raya Umum ke-15,” jelasnya.

Selain itu katanya, MPP memutuskan bahawa Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan akan diteruskan pada 15 Julai 2022, bertempat di IDEAL Convention Centre (IDCC) Shah Alam.

“Kongres Nasional juga akan diteruskan pada 16 dan 17 Julai 2022, juga bertempat di IDEAL Convention Centre (IDCC) Shah Alam.

“Kongres kali ini akan menumpukan kepada kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi PRU-15 serta pembubaran parlimen yang boleh berlaku pada bila-bila masa selepas 31 Julai 2022,” katanya.

Leave a Reply