Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO mahu Latheefa Koya juga disiasat

Hebahkan !!!

Seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno menggesa siasatan turut dilakukan ke atas bekas pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran dakwaan terbaru dalam perbicaraan kes rasuah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Kata Razlan Rafii disebabkan ada saksi pendakwaan memberi keterangan di mahkamah bahawa syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) membuat bayaran tunai RM1.3 juta kepada Muhyiddin Yassin, maka bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya juga wajar disiasat.

“Keterangan saksi dalam kes UKSB seharusnya bukanlah mengejutkan. Pada 2019, Latheefa merupakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, dia adalah penjawat awam yang memegang amanah untuk menjalankan siasatan ke atas kes UKSB.

“Latheefa harus disiasat dan dibawa ke muka keadilan sekiranya dia bersengkongkol dengan tindakan seperti yang dinyatakan saksi dalam mahkamah bahawa Muhyddin menerima wang RM1.3 juta,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Dakwa Razlan terbukti kini Latheefa dilantik mengetuai SPRM adalah untuk melakukan siasatan terhadap musuh politik Pakatan Harapan (PH), mengambil tindakan yang tidak berperlembagaan terhadap musuh politik, dan melakukan pembunuhan karektor politik terhadap BN.

Katanya jika didapati terlibat cuba menyembunyikan fakta kes Latheefa mesti dikutuk sekeras-kerasnya dan dihukum dengan berat.

Terdahulu, Razlan berkata satu suruhanjaya yang bebas harus diwujudkan untuk menyiasat apakah sebenarnya terjadi semasa PH memerintah.

Katanya perlu dicari fakta bagaimana rasuah boleh dilakukan semasa PH memerintah dan diteliti sama ada Latheefa – selaku ketua pesuruhjaya SPRM – mengetahui keadaan itu atau sebaliknya.

Hal itu katanya akan membuktikan tujuan sebenar mengapa Dr Mahathir Mohamad – selaku perdana menteri PH – melantik mereka.

Untuk rekod, Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah S$13.56 juta daripada UKSB supaya kerajaan melanjutkan kontrak kepada syarikat tersebut.

Kontrak itu adalah untuk mengendalikan Pusat Sehenti di China dan sistem Visa Luar Negara (sistem VLN), serta mengekalkan perjanjian untuk membekalkan peralatan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama.

Ahmad Zahid adalah timbalan perdana menteri dan menteri dalam negeri ketika bayaran dibuat antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Minggu lalu, bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan, memberitahu mahkamah tinggi, Muhyiddin dan Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal turut menerima dana daripada syarikat itu.

Mahkamah juga mendengar keterangan bahawa nama beberapa menteri dan timbalan menteri lain direkodkan dalam lejar pembayaran syarikat, menggunakan nama kod.

Mereka termasuk bekas menteri luar Anifah Aman, timbalannya Reezal Merican Naina Merican, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Muhyiddin dan Anifah menafikan mereka pernah menerima dana daripada UKSB.

Leave a Reply