PH boleh menang di Perak jika BN bertanding solo pada PRU15

Hebahkan !!!

BATU KURAU – Pendirian UMNO yang mahu bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak akan membuka peluang kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) di Perak.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, sekiranya UMNO terus juga mahu bertanding secara solo, maka tidak mustahil hasil keputusan itu akan menyebabkan PH memerintah negeri ini, seperti pada PRU14.

Menurutnya, matlamat Pas jelas iaitu bersungguh-sungguh mahukan penyatuan ke atas parti -parti besar Melayu seperti UMNO, Pas dan Bersatu bergabung pada PRU15 nanti.

“Gabungan besar ini berupaya mengekang kemaraan DAP-PH dari memenangi kerusi -kerusi di Perak dan daripada menjadi kerajaan di negeri ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas melakukan tinjauan ke atas peraih-peraih durian di Kampung Sempeneh bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), di sini, hari ini.

Razman berkata , ketika ini DAP menguasai 19 kerusi dan sekitanya berlaku pertembungan tiga penjuru, maka tidak mustahil PH mempunyai peluang untuk menang.

Menurutnya, Pas turut menolak untuk menyertai ‘Khemah Besar’ kerana di dalamnya terdapat DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berpendapat, berdasarkan kepada pengalaman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak, didapati pengaruh besar PH hampir terkubur.

“Maka mereka telah mencari satu jalan dengan mempromosikan kepada parti -parti lain untuk menyertai ‘Khemah Besar ‘ bagi menghidupkan nyawa mereka kembali,” ujarnya.

Mengenai corak pengundi muda dan kelabu, beliau berpendapat, setakat ini kebanyakan parti tidak dapat membuat analisa secara tepat bagi mengenal pasti rentak dua golongan itu.

“Secara politiknya, jika ditanya kepada mana-mana parti, semuanya akan mengatakan bahawa mereka mampu memonopoli dua golongan itu semasa kempen PRU15 nanti.

“Namun Pas mengharapkan agar dua golongan ini lebih bersikap terbuka untuk menilai semua sudut bagi kepentingan rakyat dan negeri serta matang dalam membuat pilihan mereka apabila tiba pada masanya nanti,” tambahnya.

©Astro Awani

Leave a Reply