Azeem catat 10.28s, kini dalam landasan tepat

Hebahkan !!!

Atlet 100 meter (m) negara Muhammad Azeem Fahmi kini berada pada landasan tepat untuk muncul antara pelari pecut terbaik di Asia Tenggara. Jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah berkata, walaupun Azeem belum lagi mencapai tahap tertinggi ketika ini namun masa akan tiba apabila diberikan pendedahan secukupnya kepada atlet itu.

Amir berkata, segala kerja keras dan disiplin tinggi dipamerkan atlet berkenaan membuahkan hasil terutamanya berjaya memperbaharui catatan peribadi terbaik pada penyertaan di Terbuka Perak semalam.

“Azeem berada di landasan betul untuk mencipta nama sebagai pelari pecut di rantau ini namun perlu beri masa kepadanya dan bukan terburu-buru kerana dibimbangi akan menjejaskan prestasinya.

“Apa yang penting adalah perancangan kena betul kerana kita tidak boleh menekan Azeem untuk menyertai semua kejohanan kerana dibimbangi akan menyebabkannya cedera,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, pelari pecut berusia 18 tahun itu memperbaharui rekod peribadi dalam acara 100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Terbuka Perak 2022.

Atlet digelar ‘Usain Bolt Malaysia’ itu mencatat masa 10.28 saat (s) untuk mengungguli acara 100m lelaki sekali gus meninggalkan pencabar lain pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Perak di sini semalam.

Catatan itu memperbaharui rekod peribadi 100m berbanding 10.37s yang dicatat sebelum ini sewaktu menyertai Kejohanan Kuala Lumpur Allcomers pada 26 Mac lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply