Atlet transgender dilarang sertai pertandingan renang dalam acara wanita

Hebahkan !!!

BUDAPEST, Hungary – Badan induk renang dunia telah mengeluarkan larangan wanita transgender daripada bertanding dalam acara wanita, bermula serta-merta.

Ahli Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) juga bersetuju menerima pakai dasar kemasukan jantina baharu pada hari Ahad, yang hanya membenarkan perenang yang disahkan perempuan sebelum usia 12 tahun untuk bersaing dalam acara wanita.

“Ini dapatan kajian sains, jika anda bertukar (jantina daripada lelaki ke perempuan) selepas akil baligh, anda mempunyai kebolehan yang tidak sama dengan wanita, jadi ia tidak adil,” kata James Pearce, jurucakap kepada Presiden FINA, Husain Al-Musallam, kepada The Associated Press.

Pearce mengesahkan buat masa ini tiada wanita transgender bersaing dalam pertandingan renang di peringkat elit atau profesional.

Polisi 24 muka surat baharu FINA turut mencadangkan kategori baharu iaitu pertandingan terbuka.
Sebuah kumpulan akan menghabiskan masa enam bulan untuk melihat cara paling berkesan bagi menubuhkan kategori baharu itu.

Pearce memberitahu AP bahawa pertandingan terbuka berkemungkinan besar akan bermakna lebih banyak acara, tetapi butirannya belum diputuskan.

“Tiada siapa yang tahu bagaimana sistem ini akan berfungsi. Dan kita perlu penyertaan dari semua peringkat untuk membincangkan cara ia berfungsi,” katanya.

Leave a Reply