Sarimah bakal jalani pembedahan tulang kaki kanan

Hebahkan !!!

Kuala Lumpur: Pengacara popular, Che Puan Sarimah Ibrahim bakal menjalani pembedahan tulang kaki sebelah kanan selepas mengalami kesakitan akibat penggunaan kasut tumit tinggi.

Sarimah berkata, dia bakal menjalani pembedahan terbabit di sebuah hospital pakar Ortopedik dikenali ALTY Orthopaedic Hospital sebelum hujung tahun ini.

“Apabila kerap mengenakan kasut tumit tinggi sudah tentulah kaki kita akan mengalami kesakitan. Tambah pula kerjaya saya sebagai selebriti memang kena pakai kasut tumit tinggi selama 26 tahun ini.

“Selepas mendapati kaki sebelah kanan saya seperti tidak normal apabila terdapat bonjolon seperti tulang terkeluar, saya mendapati ada hospital yang menjalankan rawatan Ortopedik (tulang).

“Jadi saya pun berbincang dengan Pakar Perunding Bedah Ortopedik & Trauma, Dr Suresh Siva untuk melakukan pembedahan sebelum hujung tahun ini.

“Disebabkan masalah ini kaki saya tidak boleh berdiri terlalu lama, malah tulang belakang dan leher juga rasa sakit,” katanya ketika ditemui pada majlis bersama media sempena pengumuman Sarimah sebagai duta kesihatan ALTY Orthopaedic Hospital, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sarimah meluahkan rasa teruja apabila dirinya dilantik sebagai duta kesihatan untuk hospital pakar tulang.

“Sebagai selebriti sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memberi kesedaran dan informasi berkaitan kesihatan kepada orang ramai.

“Usia saya juga sudah mencecah 44 tahun dan sangat sesuai untuk berkongsi mengenai penjagaan kesihatan tubuh badan kepada masyarakat di Malaysia.

“Selain bertindak sebagai duta, saya juga mengacarakan program berkaitan penyakit tulang bersama lapan doktor pakar yang ada di hospital ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply