Yang di-Pertuan Agong zahirkan harapan pasukan Malaysia beri aksi terbaik di Piala Asia

Hebahkan !!!

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mendoakan dan menzahirkan harapan agar Skuad Harimau Malaya untuk bekerja keras mencapai hasil yang terbaik di kejohanan Piala Asia 2023.

Istana Negara memaklumkan, Seri Paduka menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada skuad bola sepak kebangsaan dan barisan kejurulatihan atas kejayaan mara secara merit ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Menurut Istana Negara, Seri Paduka menzahirkan rasa syukur dan suka cita atas kejayaan ini serta dengan semangat perjuangan yang telah dipamerkan di pusingan kelayakan yang berakhir semalam.

“Seri Paduka turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada para penyokong atas sokongan padu yang telah diberikan kepada skuad kebangsaan dalam perjuangan mengakhiri penantian selama 42 tahun.

“Al-Sultan Abdullah mendoakan semoga skuad kebangsaan memperoleh kejayaan dan melakarkan sejarah baru di kejohanan tersebut,” kata Facebook Istana Negara hari ini.

Semalam, Malaysia menamatkan penantian lebih empat dekad apabila melayakkan diri secara merit ke Piala Asia 2023 selepas membenam Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Keempat-empat gol pasukan negara malam tadi masing-masing dijaringkan Muhammad Safawi Rasid, Dion Cools, Muhammad Syafiq Ahmad dan pemain gantian Darren Lok.

Kali terakhir Malaysia membuat penampilan di Piala Asia adalah pada edisi 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama, namun sudah 42 tahun pasukan negara gagal layak secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait.

Leave a Reply