KKM ambil langkah sementara untuk atasi kekurangan bekalan ubat

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil beberapa langkah penyelesaian sementara bagi mengatasi isu kekurangan bekalan ubat-ubatan di klinik dan hospital swasta serta farmasi komuniti dalam negara.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam kenyataan pada Isnin berkata, fasiliti kesihatan swasta boleh memohon pinjaman bekalan ubat-ubatan daripada fasiliti kesihatan swasta yang lain atau fasiliti kesihatan kerajaan yang terdekat.

“Fasiliti kesihatan kerajaan boleh menimbang untuk meminjamkan bekalan ubat-ubatan bagi kegunaan ketika kecemasan, krisis dan bencana dengan memastikan terlebih dahulu ketersediaan serta baki stok ubat-ubatan mencukupi untuk kegunaan aktiviti harian fasiliti kesihatan kerajaan tersebut,” katanya.

Khairy berkata sekiranya perlu, pesakit boleh dirujuk ke fasiliti kesihatan kerajaan terdekat untuk meneruskan rawatan, namun pesakit berkenaan mungkin memerlukan perubahan regimen ubat-ubatan berdasarkan ketersediaan di fasiliti kerajaan yang dirujuk.

Menurut Khairy, pesakit juga boleh membeli ubat-ubatan berkenaan daripada farmasi komuniti dengan preskripsi daripada klinik atau hospital swasta terbabit.

“KKM berharap langkah-langkah ini dapat memberi penyelesaian sementara terhadap isu kekurangan bekalan ubat-ubatan ke fasiliti kesihatan swasta agar kesinambungan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada rakyat dapat diteruskan,” katanya.

Khairy berkata pada masa sama, pihak KKM juga telah memulakan perkongsian maklumat senarai ubat-ubatan yang mengalami gangguan dan cadangan produk alternatif bagi ubat-ubatan tersebut dengan pihak pengamal perubatan swasta, hospital swasta dan farmasi komuniti.

“Senarai ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa. Langkah ini dilakukan untuk mengurangkan impak kepada situasi semasa dan penggunaan secara optimum ubat-ubatan generik lain sebagai alternatif, yang masih mempunyai bekalan di pasaran.

“Penyelesaian jangka panjang sedang diusahakan KKM dalam menangani isu ini dan pemantauan berterusan dibuat untuk memastikan ketersediaan ubat-ubatan di seluruh Malaysia,” katanya. –  BERNAMA

Leave a Reply