Warga Filipina dijatuhi hukuman penjara guna MyKad palsu

Hebahkan !!!

MELAKA – Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap seorang wanita warga Filipina kerana menggunakan kad pengenalan palsu sejak 21 tahun lalu.

Majistret Nabihah Moh Noor menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Elenita Maisog, 51, dan mensabitkannya dengan pertuduhan.

Beliau menetapkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 9 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, Elenita tanpa kuasa sah dan sebab munasabah didapati memiliki kad pengenalan palsu atas nama Nuria Rahman yang beralamat di 1158-8, Batu 12, P/A JMSU 236-L, Sungai Udang, Melaka.

Kesalahan dilakukan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka pada 9 Jun lalu, kira-kira jam 3 petang.

Dia didakwa mengikut peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum mengikut peraturan yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes dikemukakan Pegawai Pendakwa JPN, Ahmad Amirul Ahmad Jamal, semakan nombor kad pengenalan berkenaan merujuk kepada individu bernama Sapina dan tertuduh mengaku nama sebenarnya adalah Elenita Maisog dan berasal dari Misamis Occidental, Filipina.

Difahamkan, JPN berjaya mengesan kesalahan itu selepas tertuduh hadir ke pejabat JPN Melaka bagi proses pendaftaran kelahiran tiga anaknya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia seorang ibu tunggal dan hanya bekerja di kantin sekolah serta perlu menjaga tiga anak kecil.

Pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh yang melakukan kesalahan itu sejak 21 tahun lalu serta perintah diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk diusir keluar selepas hukuman penjara selesai.

©Berita Harian

Leave a Reply