Reman suspek kes rogol 19 tahun lepas disambung

Hebahkan !!!

PARIT BUNTAR – Lelaki yang ditahan kerana dipercayai terlibat kes rogol yang berlaku 19 tahun lepas di Bagan Serai, disambung reman tiga hari lagi bagi membantu siasatan.

Perintah sambung reman ke atas suspek berusia 40 tahun itu dilakukan di Mahkamah Majistret Parit Buntar pagi ini.

Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi membenarkan suspek direman sehingga Khamis ini selepas tempoh reman empat hari sejak Jumaat lalu berakhir hari ini.

Tempoh lanjutan reman tersebut bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Terdahulu, lelaki yang memakai pakaian lokap berwarna ungu dan bergari itu tiba di pekarangan mahkamah menaiki trak polis pada pukul 8.50 pagi dengan diiringi kawalan polis pengiring.

Suspek kelihatan tenang dan tidak cuba mengelak selepas melihat beberapa wakil media yang mahu mengambil gambarnya.

Menerusi laporan media Ahad lalu, lelaki itu diberkas pada Khamis oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman kerana disyaki terlibat dalam kes rogol pada tahun 2003.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil dalam kenyataannya berkata, suspek ditahan menerusi maklumat yang diperoleh daripada data profil asid deoksiribonukleik (DNA).

©Utusan Online 

Leave a Reply