Langkah memansuhkan hukuman mati mandatori sepenuhnya masih di peringkat perbincangan

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Hukuman mati mandatori di Malaysia masih dikekalkan bagaimanapun ia bakal dimansuhkan dan dalam peringkat perbincangan.

Menurut Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pemansuhan bukan daripada kenyataan atau keputusan kabinet, tetapi pemansuhan bermula kepada pindaan undang-undang relevan.

“Hukuman mati di Malaysia masih ada dan apa yang dipersetujui oleh Kabinet pada 8 Jun lalu ialah untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, namun hukuman mati masih ada dalam hukuman (perundangan Malaysia), walaupun itu bakal dimansuhkan,” katanya dalam sidang media khas, di sini, hari ini.

Wan Junaidi berkata, masih terdapat banyak perkara masih perlu dibincang dan dikaji sebelum hukuman mati mandatori dimansuhkan sepenuhnya.

Antaranya keseimbangan undang-undang, cadangan hukuman alternatif, kes telah dijatuhi hukuman, kes dalam siasatan dan kes melibatkan pengampunan.

“Masih banyak cabaran, masih banyak persoalan, masih banyak perkara yang perlu diambil kira oleh saya, kementerian bersama Peguam Negara untuk mengatasi masalah ini supaya pelaksanaan itu tidak bersikap tidak adil kepada semua.

“Jika kita ketahui sehingga 31 Disember 2020 sebanyak 144 negara telah memansuhkan hukuman mati manakala 55 negara masih mengekalkan hukuman mati dan yang mandatori itu memang tidak banyak.

“Malaysia mungkin kumpulan terakhir yang menghapuskan ini. Jadi, kerajaan berani hendak mara ke hadapan bersama supaya dilihat lebih berperikemanusiaan dan lebih banyak memikirkan bahawa ada banyak perkara yang boleh mendorong seseorang bersikap sedemikian semasa melakukan kesalahan,” ujarnya.

Tambahnya, hukuman mati mandatori dimansuhkan kerana tangan hakim seolah-olah diikat dengan undang-undang yang sedia ada, walaupun kemungkinan hakim mendapati hukuman lain lebih wajar dijatuhkan selain daripada hukuman mati mandatori.

“Hukuman mati dengan kuasa budi bicara mahkamah membawa maksud bagi mana-mana tertuduh yang disabitkan dengan kesalahan atas suatu jenayah yang dilakukan, Hakim boleh (mempunyai pilihan) menjatuhkan hukuman mati atau hukuman pemenjaraan dan/atau sebatan mengikut budi bicara Hakim.

“Ia juga bergantung kepada jenis, keseriusan jenayah tersebut dan trend hukuman, keadaan mangsa, kerjasama dan keinsafan pesalah serta faktor-faktor pengurangan hukuman lain yang memihak kepada pesalah.

“Sebelum suatu hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah, ‘victim impact statement’ boleh dikemukakan oleh mangsa atau keluarga mangsa atas permohonan mangsa atau keluarga mangsa selaras dengan Seksyen 183A Kanun Prosedur Jenayah,” jelasnya.

Baru-baru ini, kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini, dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori pada Mesyuarat Jemaah Menteri, kelmarin.

Sebelum ini, Wan Junaidi dalam satu kenyataan, berkata kerajaan juga secara prinsipnya menerima serta mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian itu.

Jemaah Menteri telah bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), serta 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah.

©Astro Awani

Leave a Reply