Generasi muda sudah mula sanjung Paetongtarn Shinawatra

Hebahkan !!!

BANGKOK, Thailand – Generasi muda Thailand menyanjung Paetongtarn Shinawatra yang juga anak bongsu bekas Perdana Menteri yang digulingkan, Thaksin Shinawatra, yang dianggap tokoh berpengaruh dan kontroversi dalam sejarah moden negara Gajah Putih itu.

Paetongtarn Shinawatra, 35, yang memiliki setengah juta pengikut di Instagram, menjalani gaya hidup glamor dan menggambarkan dirinya sebagai ‘puteri bongsu’ Thaksin.

Paetongtarn juga dilihat membawa semula pengaruh dan legasi politik Thaksin kepada generasi baharu dan bersedia merampas semula tampuk pemerintahan yang dikuasai golongan diraja bersama tentera dan kumpulan elit.

Walaupun peranan beliau ketika ini dikatakan kurang menonjol bersama parti pembangkang utama, Pheu Thai tetapi diramalkan akan dinamakan sebagai calon Perdana Menteri apabila pilihan raya umum diadakan berkemungkinan pada Mac tahun depan.

Beliau yang juga Ketua Jawatankuasa Penasihat, Penyertaan dan Inovasi Parti Pheu Thai itu turut terbuka dengan berkongsi matlamatnya dalam arena politik.

“Kita boleh mengubah Thailand daripada negara yang penuh dengan hutang, kesengsaraan, tanpa masa depan, menjadi negara yang penuh dengan peluang dan harapan untuk kita serta generasi akan datang,” katanya kepada AFP pada persidangan parti itu bulan lalu.

Paetongtarn yang menguruskan cawangan hotel syarikat hartanah keluarganya juga sudah memulakan kempen pilihan raya dengan menjelaskan Thailand tentunya akan bertambah baik di bawah pemerintahannya, dan beliau akan mengikuti corak kepimpinan bapanya yang sentiasa membantu rakyat.

“Mana mungkin saya tidak berbangga dengan ayah (Thaksin) selepas semua yang dia lakukan untuk negara kita?. Terima kasih kepadanya, bukan sahaja saya tidak takut dengan kritikan, tetapi saya melihatnya sebagai peluang untuk penambahbaikan,” katanya.

Untuk rekod, Thaksin, 72 tahun, digulingkan dalam satu rampasan kuasa pada 2006 dan sejak itu tinggal dalam buangan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), untuk mengelak tuduhan rasuah.

Beliau dikatakan masih mempunyai pengaruh besar ke atas parti Pheu Thai, yang memenangi pilihan raya pada 2011.

Leave a Reply