Faizal Azumu berpuas hati dengan Perbadanan Stadium Malaysia isu padang ditakungi air

Hebahkan !!!

IPOH – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berpuas hati dengan kenyataan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) berhubung permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang ditakungi air berikutan hujan lebat, Sabtu lalu.

Menurutnya, kenyataan PSM bahawa sistem perparitan padang berfungsi dengan baik sudah cukup untuk semua rakyat faham keadaan yang berlaku pada malam perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain.

Beliau berkata, apa yang berlaku bukan disebabkan kelemahan sistem perparitan padang, tetapi, masalah paling besar ialah perubahan iklim yang ketara apabila pada petang sebelum perlawanan tersebut, hujan lebat.

“Sebelum itu, ada satu perlawanan lain iaitu di antara Bangladesh dan Turkmenistan, jadi pada pukul 8 malam, memang seluruh padang air bertakung.

“Kita juga lihat air diserap melalui sistem drainage yang agak berfungsi dengan baik. Pada pandangan PSM, jika diberi sedikit masa (perlawanan ditangguh seketika) lagi, padang itu boleh berada dalam keadaan lebih baik berbanding sebelumnya.

“Namun, perlawanan pasukan negara kita dan Bahrain perlu diadakan mengikut tepat pada waktunya seperti yang jadual, menyebabkan isu ini yang telah dibangkitkan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada perasmian Surau Al-Faizin Sekolah Kebangsaan Pasukan Polis Hutan Ulu Kinta dekat sini hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, kementerian tidak terlibat dalam penganjuran kejohanan tersebut sebaliknya pertandingan diuruskan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Katanya, kementerian akan memberikan kerjasama dengan AFC dan FAM dan diharapkan perkara itu tidak berlaku lagi.

“Saya nasihatkan kepada AFC dan FAM mungkin boleh gunakan beberapa stadium untuk kejohanan ini, contohnya bagi perlawanan yang tidak melibatkan ramai penonton seperti Turkmenistan menentang Bangladesh, boleh gunakan Stadium Kuala Lumpur atau lain-lain stadium.

“Stadium Nasional boleh digunakan untuk perlawanan melibatkan pasukan negara kita,” katanya.

Hujan lebat sejak petang, menyaksikan permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil ditakung air pada Sabtu lalu menjelang perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain.

Situasi itu memaksa petugas stadium terpaksa menolak air secara ‘manual’ menggunakan penyodok dan kadbod.

Insiden itu mengundang kritikan dalam media sosial dan netizen menyifatkan permukaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai ‘bendang’.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Mohd. Faidz Sanusi menjelaskan pihaknya sudah mencadangkan perlawanan antara Malaysia menentang Bahrain itu ditangguhkan bagi tempoh sekurang-kurangnya 30 minit.

Namun, Mohd. Faidz mendakwa penganjur tetap mahu meneruskannya seperti waktu ditetapkan sekali gus menyebabkan padang rosak.

Jika ditangguhkan sekurang-kurangnya 30 minit bagi memberikan masa untuk sistem perparitan padang berfungsi dengan lebih baik.

Cadangan agar perlawanan itu ditangguhkan kepada pukul 9.30 malam itu telah diutarakan, namun perlawanan tersebut tetap diteruskan seperti waktu sepak mula yang ditetapkan.

©Utusan Online

Leave a Reply