Anwar tunggu keputusan rasmi Pemilihan PKR

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung pemilihan parti itu selepas Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengumumkan keputusan rasmi bulan depan.

Beliau memaklumkan sudah menghubungi bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang dilaporkan memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR, berdasarkan keputusan tidak rasmi.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan arus perubahan yang dilihat dalam pemilihan parti itu sebagai perkara yang positif kepada PKR.

“Saya sudah hubungi Rafizi dan saya maklumkan akan buat kenyataan rasmi setelah JPP membuat pengumuman rasmi (keputusan pemilihan).

“Saya dinasihatkan jangan buat apa-apa kenyataan yang menyinggung pemilihan buat masa ini.

“Tetapi, saya rasa pemilihan dan semangat perubahan itu sesuatu yang positif bagi parti,” katanya kepada media ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Peluncuran Buku Kombo Merdeka 65 Tahun karya Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Pemilihan PKR, dengan keputusan tidak rasmi menyaksikan Rafizi berjaya memenangi jawatan nombor dua parti dengan menumpaskan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saingan jawatan Naib Presiden PKR pula dimenangi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari, Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Bagaimanapun, JPP menangguhkan pengumuman keputusan pemilihan itu berikutan wujud pelbagai bantahan dan aduan, antaranya membabitkan dakwaan kewujudan pengundi ragu, kesahihan undi dan masalah logistik.

Susulan dakwaan itu, PKR memaklumkan Kongres Nasional 2022 yang asalnya dijadualkan pada 24 dan 25 Jun ini, ditangguhkan kepada 15 hingga 17 Julai depan bagi memberi ruang audit forensik terhadap bantahan dan aduan yang diterima berkaitan pemilihan parti, dijalankan.

Sejak keputusan tidak rasmi itu diterbitkan di portal rasmi Pemilihan PKR, Anwar masih belum membuat sebarang kenyataan mengenainya, terutama membabitkan kemenangan Rafizi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply