SPRM perlu dedah hasil siasatan Hakim Mohd Nazlan segera elak persepsi negatif

Hebahkan !!!

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengumumkan secepat mungkin hasil siasatan mereka terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkaitan kewujudan wang lebih RM1 juta di dalam akaun peribadinya yang tidak dapat dijelaskan.

Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia (BAR) Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata jika ia lambat diumumkan, ia akan mewujudkan pandangan tidak elok kepada sistem perundangan negara.

“SPRM seharusnya mengumumkan siasatan mereka dengan kadar yang segera kerana sebarang kelewatan akan mengundang persepsi negatif yang tidak adil terhadap instituti kehakiman yang dipandang tinggi dalam negara,” katanya kepada My News Online ketika dihubungi hari ini.

Abdul Fareed merupakan Presiden BAR untuk tempoh 2019 hingga 2020.

Pada 21 Mei lepas, pihak SPRM telah menyerahkan kertas siasatan melibatkan Mohd Nazlan kepada Peguam Negara pada 18 Mei untuk diteliti dan arahan untuk tindakan selanjutnya.

Dalam satu kenyataan, SPRM menyatakan pihaknya sudah selesai menyiasat kes berkenaan.

Siasatan melibatkan hakim berkenaan telah dimulakan sejak Mac lepas dengan mengumpulkan bukti yang perlu mengikut panduan dan prosedur yang ditetapkan.

Pada 23 April lepas, akhbar tempatan melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan suruhanjaya itu telah memulakan siasatan terhadap Mohd Nazlan berhubung dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya berikutan laporan rasmi yang dibuat berhubung perkara tersebut.

Mohd Nazlan merupakan hakim di Mahkamah Tinggi yang mendengar kes melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pertuduhan berkaitan penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn Bhd.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan kini memohon Mahkamah Persekutuan untuk mengisytiharkan keseluruhan perbicaraan penyelewengan dana syarikat itu di Mahkamah Tinggi batal dan tidak sah.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata ia berikutan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar perbicaraan dan mendapati beliau bersalah di atas tujuh pertuduhan, sengaja gagal mendedahkan peranannya dalam Maybank Investment melalui Bina Fikir Sdn Bhd berkaitan penubuhan SRC.

Leave a Reply