Pendakwah bebas tarik balik kenyataan tentang perpindahan roh manusia

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas yang mengulas mengenai perpindahan roh manusia yang meninggal dunia ke jasad manusia yang masih hidup dalam ceramahnya baru-baru ini, menarik balik kenyataan itu.

Muhd Zainul Asri menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di media sosial semalam, turut meminta maaf kerana isu berkenaan menimbulkan keresahan umat Islam.

“Saya tidak mahu panjangkan isu ini. Saya tarik balik kenyataan itu. Sebenarnya bukan kenyataan saya, saya ‘naqal’ (ambil) daripada guru saya.

“Saya meminta maaf kepada masyarakat dan umat Islam di Malaysia yang mengikut polemik ini. Saya minta maaf kerana meresahkan umat Islam, umat Muhammad secara khusus. Tak perlu panjang-panjangkan, saya tarik balik (kenyataan),” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan mengenai perpindahan roh dari jasad ke jasad itu dimaklumkan oleh gurunya yang sudah pun meninggal dunia.

Terdahulu, tular rakamam video berdurasi lebih 10 minit, di mana pendakwah bebas itu menyatakan gurunya pernah menyebut contoh bahawa Allah SWT mencipta roh yang boleh berpindah-pindah.

Video tular itu mencetuskan polemik dalam kalangan pengguna media sosial, sebelum Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor tampil menggesa pihak berkuasa agama bertindak segera bagi mencegah kepercayaan kepada reinkarnasi.

©Berita Harian

Leave a Reply