LIMA akan berlangsung dari 23 hingga 27 Mei 2023 di Langkawi

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) yang akan berlangsung di Langkawi, 23 hingga 27 Mei tahun depan, dijangka menarik sekurang-kurangnya 600 syarikat pempamer membabitkan 20 negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata LIMA edisi kali ini amat dinantikan bukan sahaja oleh Malaysia selaku penganjur, tetapi juga pempamer, delegasi antarabangsa dan orang awam memandangkan kali terakhir ia diadakan pada tahun 2019.

“LIMA tertunda sejak tahun 2021 disebabkan pandemik COVID-19 dan keputusan supaya ia dapat dianjurkan kembali ialah berdasarkan kejayaan penganjuran Defence Services Asia (DSA) pada Mac lalu serta kebersediaan negara selepas memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik.

“Mengambil kira maklum balas semasa yang Malaysia terima dari rakan antarabangsa setakat ini, dijangka berlaku peningkatan seterusnya berpotensi menjadikan jumlah pempamer, astaka negara terbabit, pelawat perdagangan dan awam, tetamu serta aset di LIMA 2023 sebagai yang terbesar pernah direkodkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Prapelancaran LIMA ’23 di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

©Berita Harian

Leave a Reply