Bekas diplomat dan anak mengaku tidak bersalah tanam 102 pokok ganja

Hebahkan !!!

RAUB – Bekas diplomat Malaysia dan anaknya yang diberkas polis selepas disyaki memiliki ladang ganja mengaku tidak bersalah atas tuduhan menanam sejumlah 102 pokok ganja di Mahkamah Sesyen Raub, di sini, hari ini.

Tertuduh, Zainal Abidin Alias. 78 dan anaknya Mohamed Rizal Zainal Abidin, 53 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Kedua-dua tertuduh turut memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan.

Kedua-duanya didakwa di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 [Akta 234] yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan diwajibkan sebatan maksimum enam kali jika sabit kesalahan.

Jika disabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan diwajibkan sebatan rotan tidak kurang enam kali.

Menurut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa menanam tumbuhan 102 pokok ganja di Lot 5718 Kampung Sum Sum Hilir Janda Baik di Bentong pada jam 6.10 petang 21 Mei lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Mohammad Khalid Ab. Karim bersama Hayda Faridzal Abu Hasan dan S. Punitha manakala tertuduh diwakili peguam Rahmat Hazlan.

Rahmat dalam pada itu memaklumkan kepada hakim telah menghantar surat representasi kepada Peguam Negara pada 2 Jun lalu.

Tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh dan kes disebut semula 22 Julai depan.

Pada 3 Jun lalu, kedua tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sementara itu, media pada 24 Mei melaporkan polis menemui lebih 100 batang pokok ganja di sebuah ladang pada serbuan ke atas sebuah kediaman di Kampung Sum Sum Hilir, di Janda Baik, Bentong.

©Astro Awani

Leave a Reply