Annuar Musa minta teliti semula MoU antara PH dan kerajaan

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa meminta semua pihak agar meneliti Perkara 2.1 dan 3.1 dalam dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) bagi mengelakkan kekeliruan mengenai tarikh tamat MoU itu.

Menerusi hantaran di laman Facebook beliau, Annuar memuat naik beberapa salinan MoU yang ditandatangani pada 13 Sept 2021 sebagai penjelasan kepada kenyataan beliau baru-baru ini bahawa tiada tarikh tamat bagi MoU itu.

“Bagi yang suka menulis tetapi malas membaca, menyelidik atau yang mungkin sengaja mahu mengelirukan fakta, saya hantar dokumen rasmi atau salinan MoU antara kerajaan dan PH.

“Sila teliti perkara 2 dan perkara 3 MoU berkenaan. Saya adalah salah seorang yang mewakili kerajaan menandatangani MoU berkenaan,” katanya.

Perkara 2.1 menyebut “Memorandum Persefahaman ini hendaklah berkuat kuasa daripada tarikh Perjanjian ini ditandatangani dan hendaklah terpakai sehingga pembubaran Parlimen Malaysia yang ke-14” manakala Perkara 3.1 memaklumkan “Kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 haribulan Julai 2022”.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata demikian bagi mengulas komen beberapa pemimpin UMNO yang mempertikaikan kenyataan beliau di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Sebelum ini media melaporkan Annuar memaklumkan tiada tarikh tamat tertentu berkaitan MoU itu mengenai sokongan pembangkang ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kerajaan Persekutuan dan PH pada September lepas menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik bagi membentuk satu kerjasama dwipartisan dengan mendukung semangat Keluarga Malaysia yang mempunyai enam agenda.

©Astro Awani

Leave a Reply