Parti Warisan tolak khemah besar seperti keinginan Mahathir

Hebahkan !!!

Parti Warisan menolak idea khemah besar seperti diinginkan Dr Mahathir Mohamad, termasuk gagasan Pakatan Harapan (PH) plus dengan parti itu, kata presidennya, Shafie Apdal.

Shafie berkata, khemah besar bukan lagi penyelesaian terbaik pada masa ini kerana negara ini memerlukan satu kepimpinan mahupun pemerintahan yang boleh meletakkan negara pada landasan sepatutnya.

“Saya dah nyatakan, kita tak ada nak khemah besar sebagai penyelesaian. Berapa banyak khemah sana, sini dan berapa khemah sudah saya masuk…saya sudah masuk khemah Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), cukuplah.

“Nak buat khemah lain lagi, rumah kita pun khemah sudah dicabut. Kita sukar penuhi selera semua pihak dan sebab itu saya pastikan Warisan diperkuat dan diperkukuhkan,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Semalam, bekas perdana menteri yang juga pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad, berkata parti itu enggan bekerjasama dengan Anwar Ibrahim dan Muhyiddin Yassin meskipun mengakui kepentingan kerjasama antara parti pembangkang bawah pendekatan “khemah besar” untuk menumbangkan BN.

Katanya, sikap pemimpin pembangkang yang “tidak lurus” menjadi sebab mengapa partinya menolak konsep khemah besar pada hari ini.

Ini kerana katanya, dua pemimpin berkenaan – Anwar dan Muhyiddin – mempunyai agenda menjaga kepentingan sendiri tanpa meletakkan rakyat sebagai keutamaan.

Berhubung kenyataan PH Sabah mendakwa Warisan semakin menjauhkan diri, Shafie berkata, mereka bebas memberi pandangan, namun menyatakan tidak akan ada lagi ‘PH Plus Warisan’.

Namun, di pihak pembangkang jika ada isu berhubung dengan kepentingan negara dan Sabah mereka akan bersetuju.

Shafie berkata, pendirian Warisan cukup jelas bahawa parti ingin memperkuat ‘rumah’ terlebih dahulu, sebelum sibuk melihat rumah orang lain.

Leave a Reply