Puluhan mayat ditemukan selepas banjir

Hebahkan !!!

Rio De Janeiro: Banjir dan tanah runtuh berpunca daripada hujan lebat mengorbankan sekurang-kurangnya 106 orang di timur laut Brazil.

Kejadian itu menyebabkan bencana tanah runtuh hingga merobohkan rumah di kawasan kejiranan termasuk Jardim Monteverde, sebuah komuniti miskin di luar bandar Recife.

Penduduk tempatan menyamakan gelombang banjir lumpur itu seperti tsunami.

“Ia adalah satu tragedi. Saya kehilangan ramai kawan,” kata penduduk berusia 49 tahun Maria Heronize kepada AFP sambil menangis.

Pasukan penyelamat menemui berpuluh-puluh mayat selepas banjir melanda kawasan kejiranan pada Sabtu lalu.

Enam lagi mayat terakhir dilaporkan hilang di kawasan kejiranan ditemui pada Jumaat lalu menamatkan pencarian di sana, kata kerajaan Pernambuco.

Di tempat lain, sekurang-kurangnya lapan orang masih hilang, kata pegawai pengurusan bencana untuk negeri itu, tempat kejadian terbaharu dalam siri bencana cuaca maut yang melanda Brazil dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Penyelamat menggunakan anjing pengesan untuk menghidu mangsa dan pesawat untuk mencari mangsa yang hilang.

Sekurang-kurangnya 24 majlis perbandaran di Pernambuco mengisytiharkan darurat, dan lebih 6,000 orang kehilangan tempat tinggal atau terpaksa melarikan diri.

Presiden Jair Bolsonaro menyiarkan video di Twitter menunjukkan beliau menaiki helikopter di atas zon bencana, di mana air banjir berwarna coklat menenggelamkan kawasan besar dan kesan lumpur di lereng bukit yang terdapat rumah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Leave a Reply