Kenalpasti faktor wujud peluang isu kartel pengurusan jenazah

Hebahkan !!!

SHAH ALAM – Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim mencadangkan supaya kaji semula ruang-ruang yang boleh mewujudkan peluang eksploitasi, manipulasi dan juga monopoli terhadap kegiatan kartel pengurusan jenazah.

Beliau berkata, itu merupakan satu daripada tiga prinsip yang boleh diguna pakai dalam pengurusan risiko, sekali gus membendung kegiatan tersebut daripada terus berleluasa.

“Kalau kita nak kata zero kartel, itu bohong. Jadi apa prinsip yang patut kita pakai? Kita pakai pengurusan risiko. Pertamanya, ‘avoid the risk’.

“Kedua, bahagikan risiko ini. Kalau kematian di rumah, barangkali ahli-ahli qariah masjid boleh membantu. Kalau di hospital pihak lain pula yang bantu. Tetapi kedua-dua ini boleh dibantu oleh pihak yang sama bagi tujuan pengurusan jenazah.

“Ketiga, menguruskan risiko ini dengan mengkaji semula ruang-ruang yang mana boleh mewujudkan peluang eksploitasi, manipulasi dan monopoli yang berlaku. Ini penting bagi memastikan kegiatan kartel tersebut tidak lagi berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Kartel Jenazah, Sampai Bila?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Program yang dikendalikan Zaim Zaini itu turut menampilkan jurulatih pengurusan jenazah, Amir Muttaqin dan sukarelawan Amal Valley Organization, Omar Mokhrij Johari sebagai panel jemputan.

Sebelum ini beberapa petugas kesihatan di sebuah hospital di Selangor direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah berjumlah antara RM1,000 dan RM5,000 bagi kerja-kerja berkaitan pengurusan jenazah.

Mereka dikatakan telah meminta dan menerima wang suapan daripada individu tertentu sebagai balasan untuk pihak berkenaan terus mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah bagi tempoh 2018 hingga 2021.

Mengulas lanjut Kamal Affandi berkata, semua pihak sama ada keluarga mangsa ataupun masyarakat peka terhadap isu kartel tersebut.

Katanya, individu yang menjadikan jenazah itu sebagai komoditi (barang untuk diperdagangkan) merupakan satu tindakan terkutuk.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mencadangkan supaya menambah baik dari segi penguat kuasaan.

“Enakmen negeri perlu diperkukuh lagi jabatan di bawahnya. Misalnya, tambah bahagian penguat kuasaan. Tetapi kalau bahagian itu masih kabur, tidak ada tindakan boleh dilakukan.

“Justeru, perlu lihat dan perhalusi adakah kuasa penguat kuasaan ini diberi ataupun tidak. Kalau ada, kita perbaiki. Kalau tidak ada sudah tiba masanya untuk kita pertimbangkan,” katanya.

©Sinar Harian

Leave a Reply