BN mesti memperbetulkan persepsi anggap ia parti gila kuasa dan korup

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Persepsi toksik bahawa Barisan Nasional (BN) itu merupakan parti yang gila kuasa, korup, salah guna kuasa adalah sesuatu yang amat membimbangkan dan perlu diperbaiki semula, kata Timbalan Pengerusinya Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang sinonim dengan panggilan Tok Mat, berkata kesemua ahli dan pimpinan parti komponen perlu memperkenalkan semula jenama BN dengan tawaran dan penampilan baharu.

Realitinya, jelas Timbalan Presiden UMNO itu lagi, ketika ini BN bukan sahaja mengecil dari jumlah ahli Parlimen, tetapi juga dari sudut jumlah parti komponen, bilangan negeri yang dikuasai, serta sokongan undi popular.

“Ini bukan agak-agak kita, bukan ramalan atau tekaan, sebaliknya ini adalah realiti, yang kesemuanya boleh disandarkan secara jelas kepada fakta dan data.

Jadi sangat penting untuk BN berpijak di bumi nyata, terima realiti bahawa kemenangan (dalam pilihan raya umum akan datang) tak akan datang bergolek, mesti usaha, dengan gigih dan gerak kerja strategik,” tegasnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan Konvensyen BN bertemakan “Kesetiaan dan Kestabilan”, bersempena dengan ulang tahun gabungan parti itu yang ke-48, di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Tok Mat turut berkata, BN perlu dilihat bukan sahaja sebagai parti yang sifatnya pegun atau statik, tetapi sebagai sebuah idea yang sentiasa bercambah dan berevolusi.

“Sangat penting tampilkan BN sezaman, segar, kalis masa depan. Bagi saya, kita mesti ungkapkan semula BN ini sebagai sebuah idea, bukan sekadar sebuah perikatan politik.

“Kenapa? Kerana parti mesti berevolusi. Institusi politik lumrahnya pegun atau statik, sedangkan idea sentiasa bertumbuh, bercambah dan membiak. Mesti tansilkan sebagai idea kesepakatan, kesatuan dalam pelbagai, multiculturalism, progress dan diverse,” tegasnya lagi.

Tok Mat berkata, usaha itu perlu bersandar misi untuk menjadikan BN sinonim dengan pemikiran kesepakatan, dan budaya pendekatan politik yang progresif.

“Demi hadapi PRU akan datang, BN mesti tampil dengan imej revolusi. Cool but serious and promising. Kita perlu terbitkan rasa percaya dalam kalangan rakyat, dan boleh sebabkan rakyat beri BN satu peluang untuk buktikan bahawa BN benar-benar sebuah idea revolutional.

“Semua ini saya pulangkan pada kepimpinan BN untuk renung dan fikir dan bahas. Supaya akhirnya nanti BN adalah tentang pemuafakatan, lalu apa jua jalan ke hadapan untuk BN, mesti santuni dengan tradisi pemuafakatan BN,” katanya lagi.

©Astro Awani

Leave a Reply