Anis Amira tidak letak sasaran di Sukan Komanwel Birmingham 2022

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Pelumba berbasikal trek wanita negara, Anis Amira Rosidi tidak meletakkan sebarang sasaran pada penampilan pertamanya di Sukan Komanwel Birmingham 2022, bulan depan.

Sebaliknya, pelumba berusia 24 tahun itu, berkata temasya berkenaan adalah peluang untuk dia menimba pengalaman selain sedar cabaran yang bakal dihadapinya apabila bersaing dengan pelumba handalan dunia yang lain.

“Apabila beraksi di peringkat dunia, kita nampak negara yang akan bersaing di Sukan Komanwel nanti. Saya percaya ia bukan mudah dan akan menjadi persaingan yang sengit.

“Jadi, saya fikir ini adalah peluang untuk saya menimba pengalaman dan pada masa sama saya akan buat yang terbaik,” kata pelumba berasal dari Perlis itu.

Di Birmingham, Amira kemungkinan besar akan menggalas cabaran negara dalam acara keirin selain 500 meter (m) ujian masa, 200m, dan pecut berpasukan.

Bagi acara pecut berpasukan, dia akan bergandingan bersama Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Nurul Aliana Syafika.

“Pasukan ini baru saja ditubuhkan awal tahun ini. Memang kami sedang buat persiapan ke arah itu (untuk menghadapi Sukan Komanwel) namun semuanya bergantung kepada keputusan jurulatih,” katanya yang memenangi pingat emas keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan, Sabtu lalu.

Anis Amira adalah pelumba wanita paling senior dalam skuad negara ketika ini selepas Fatehah Mustapa mengumumkan persaraannya pada Januari 2020.

Sebelum aksi di Birmingham, skuad negara kemungkinan besar akan beraksi di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di India bermula 18 hingga 22 Jun ini namun belum ada pengesahan pelumba negara akan menyertai kejohanan berkenaan disebabkan jarak masa yang terlalu dekat dengan Sukan Komanwel yang akan membuka tirai pada 28 Julai hingga 8 Ogos.

©Berita Harian

Leave a Reply