Polis tahan sebuah lori sarat dengan 1.35 tan daun ketum

Hebahkan !!!

GURUN – Sebuah lori sarat membawa 1.35 tan daun ketum ditahan polis dalam sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 80.7 Lebuhraya Utara Selatan di sini, pada jam 9.45 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kedah, Superintendan Mohd Mahiri Hussin berkata, turut ditahan dua lelaki iaitu pemandu dan kelindan lori masing-masing berusia 35 tahun.

“Pemeriksaan di bahagian belakang lori menemui 135 bungkusan plastik hitam di mana selepas dibuka di dalamnya berisi daun ketum.

“Hasil siasatan pemandu lori itu memberitahu sejumlah 1.35 tan daun ketum itu diambil dari Pokok Sena untuk dihantar ke Johor,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Mahiri berkata, pemandu serta kelindan lori terbabit berasal dari Johor Bahru ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Beliau berkata, operasi bersepadu melibatkan 56 anggota serta sembilan pegawai JSPT Kedah dan Bukit Aman, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Sepanjang operasi sebanyak 54 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk 15 daripadanya memandu melebihi had kelajuan.

“Manakala kesalahan lain adalah tidak mempamer pelekat P kereta dan motosikal (2), cermin sisi (4), aksesori (5), nombor pendaftaran kenderaan (3) dan tiada GDL (1),” katanya.

Mohd Mahiri berkata, enam tangkapan dilakukan oleh pihak AADK membabitkan pemandu kenderaan dimana lima daripadanya positif methaphetamine manakala seorang positif heroin.

Selain itu, 24 notis dikeluarkan oleh JPJ membabitkan pelbagai kesalahan.

©Astro Awani

Leave a Reply