Najib sangkal kritikan bahawa beliau buat dakwaan palsu

Hebahkan !!!

Bekas perdana menteri Najib Razak membidas kritikan berhubung kenyataannya bahawa ketidaksamaan pendapatan menjadi meluas bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Najib, yang membangkitkan isu itu semasa debat dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim baru-baru ini, memetik data daripada Jabatan Perangkaan untuk menunjukkan peningkatan pekali Gini semasa PH memerintah.

“Saya tidak buat dakwaan palsu atau berita palsu,” katanya di laman Facebooknya, Najib Razak.

Najib menjawab dakwaan bahawa beliau membuat dakwaan palsu berhubung perkara itu kerana statistik Bank Dunia hanya menyediakan data hingga 2015.

Beliau bagaimanapun berkata, Jabatan Perangkaan menyediakan data hingga 2019.

“Seperti yang anda dapat lihat, pekali Gini Malaysia mengalami penurunan paling ketara dalam sejarah semasa saya menjadi perdana menteri, jatuh daripada 44.1 kepada 39.9,” katanya.

Beliau berkata, semasa pentadbirannya, pendapatan isi rumah B40 dan M40 mengalami pertumbuhan tahunan lebih tinggi berbanding T20 berikutan dasar yang diperkenalkan pada masa itu dan pengembangan pelbagai program untuk pekerjaan dan perniagaan kecil.

Pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) katanya, semakin menyumbang kepada pertumbuhan positif pendapatan isi rumah B40 dan M40 apabila individu lebih kaya berdepan peningkatan cukai lebih tinggi semakin banyak mereka berbelanja untuk barangan yang tidak dikecualikan cukai itu.

“Kesamaan pendapatan bertambah baik pada kadar terpantasnya pada masa ini dan mengeluarkan jutaan rakyat Malaysia daripada kemiskinan tegar,” katanya.

Namun ia meningkat semula pada 2019 apabila banyak dasar ini dimansuhkan kerajaan PH.

Leave a Reply