Terus buat kerja untuk rakyat dari melobi untuk jadi calon PRU15

Hebahkan !!!

KUALA SELANGOR – Pemimpin politik khususnya di Selangor diingatkan terus bekerja untuk mendekati rakyat, bukannya sibuk menawarkan diri menjadi calon untuk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, sepatutnya tidak timbul soal mana-mana individu yang hendak menjadi calon mewakili UMNO ketika ini.

“Ini bukan masanya untuk melobi menjadi calon kerana bagi saya, kita perlu turun padang dan melibatkan diri dengan rakyat.

“Soal calon ditentukan pucuk pimpinan tertinggi parti dan semua pemimpin perlu terus turun padang mendekati rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Perasmian Galeri Hoki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Permatang, di sini.

Terdahulu, media melaporkan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo mengesahkan akan bertanding kerusi Parlimen Sungai Besar pada PRU-15.

Mohamad Khir dilaporkan berkata, beliau membuat keputusan itu dengan hasrat mengembalikan semula kerusi itu kepada UMNO.

Dalam pada itu, Noh berkata, pemimpin seharusnya mengambil kesempatan bertemu rakyat dalam usaha memastikan UMNO kembali berkuasa di negeri ini.

“Kita sudah tiga kali kalah di Selangor dan inilah sebenarnya masa untuk kita dekati dan mengembalikan kepercayaan rakyat di negeri ini.

“Saya berharap semua pemimpin dapat mengukuhkan perpaduan dan paling penting teruskan khidmat kepada rakyat,” katanya.

©Berita Harian

Leave a Reply