Pesawat Tara Air yang hilang disahkan terhempas dan lokasi nahas sudah ditemui

Hebahkan !!!

POKHARA, Nepal – Pasukan penyelamat pada Isnin berjaya mengesan lokasi serpihan sebuah pesawat ringan membawa 22 orang yang terhempas ketika dalam penerbangan menuju ke Jomsom, Nepal pada Ahad.

Jurucakap tentera negara itu, Narayan Silwal dalam ciapan di Twitter mengesahkan lokasi penemuan tersebut dan menyiarkan gambar serpihan dengan nombor ekor pesawat yang jelas kelihatan.

Lokasi pesawat itu terhempas ialah di Sanosware, Thasang-2, Mustang.
Setakat ini tiada maklumat lanjut sama ada 19 penumpang dan tiga anak kapal yang berada di dalam pesawat itu masih hidup atau sudah meninggal dunia.

Pesawat tersebut berlepas pada pagi Ahad untuk penerbangan selama 20 minit tetapi terputus hubungan dengan menara kawalan lima minit sebelum ia dijadualkan mendarat.

Ia berlepas dari bandar pelancongan Pokhara, 125 kilometer dari barat ibu negara, Kathmandu dan menuju ke Jomsom iaitu kira-kira 80 kilometer dari barat laut Pokhara yang merupakan sebuah pusat pelancongan.

Televisyen Nepal milik kerajaan melaporkan seorang penduduk kampung telah melihat sebuah pesawat terbakar di kaki gunung Himalaya Manapathi, di sebuah daerah yang bersempadan dengan Tibet.

Pesawat yang hilang itu dikendalikan oleh Tara Air dan dinaiki dua warga Jerman, empat rakyat India dan baki yang lain warganegara Nepal.

Leave a Reply