JHEAIK siasat aktiviti bersifat khurafat yang dilakukan di Gunung Jerai

Hebahkan !!!

Zaman sekarang ini kita kena sentiasa merujuk kepada yang pakar atau yang lebih arif terutama sekali dalam bab keagamaan sebab mungkin amalan yang kita rasa betul itu sebenarnya dah bercanggah dengan ajaran Islam.

Baru-baru ini menurut Harian Metro, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) sedang menyiasat video berkaitan amalan khurafat yang dilakukan di Gunung Jerai, Yan setelah tular melalui aplikasi TikTok sejak beberapa hari lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusri Md Daud berkata, video berdurasi satu minit itu menunjukkan perbuatan dilakukan beberapa individu dan pihaknya memandang berat kes berkenaan.

Beliau turut memaklumkan yang kes disiasat mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman ) 2014 kerana kesalahan doktrin palsu, menghina serta menyebabkan agama Islam dipandang hina.

Beliau menambah yang jika sabit kesalahan bagi Seksyen 4, ia memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan kedua-duanya sekali.

Manakala Seksyen 7 enakmen sama pula memperuntukkan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Kita minta masyarakat supaya peka dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang bercanggah dengan agama Islam untuk diambil tindakan,” katanya.

Mohd Yusri berkata, pada masa sama, JHEAIK melalui Bahagian Penyelidikan akan mengadakan siri penerangan di seluruh negeri ini berkaitan bahaya amalan khurafat kepada masyarakat dan pada masa sama akan sentiasa memantau aktiviti keagamaan di seluruh negeri Kedah.

Pengarah tersebut turut berharap golongan pendakwah dan asatizah di negeri Kedah dapat menyampaikan ilmu berdasarkan fakta berpandukan sumber dalil daripada al-Quran dan Sunnah.

Leave a Reply