Dua anggota polis dilepaskan dan dibebaskan tuduhan jenayah seksual

Hebahkan !!!

KOTA BHARU – Dua anggota polis bersyukur apabila dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas lapan pertuduhan termasuk melakukan seks oral, mencabul dan peras ugut terhadap sepasang kekasih di Pengkalan Chepa, kira-kira dua tahun lalu.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh iaitu Koperal Mohd Hanafi Mohd Zaki, 37, dan Lans Koperal Mohammad Izauddin Abdul Wahab, 32.

Ahmad Bazli dalam penghakiman berkata, selepas meneliti dan mempertimbangkan hujahan semua pihak, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Hanafi dan Mohammad Izauddin.

“Oleh itu, mahkamah melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh tanpa perlu membela diri daripada kesemua pertuduhan,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Izauddin ketika ditemui berkata, sepanjang lebih setahun, dia dan rakannya ditahan kerja dan hanya melakukan kerja kampung untuk menampung kehidupan.

Katanya, selain itu, mereka sekeluarga juga terpaksa menanggung malu berikutan kes itu ditularkan di media sosial.

“Alhamdulillah, akhirnya kebenaran berpihak kepada kami sekali gus dapat membersihkan nama saya dan keluarga,” katanya yang juga bapa kepada seorang anak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Majdah Mohamad dan Mohd Firdaus Zainal Abidin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mengarahkan seorang lelaki melakukan kelucahan melampau terhadap pasangannya berusia 20 tahun di kawasan kilang terbiar di Padang Tembak, Pengkalan Chepa pada 10.45 malam 4 Disember 2020.

Mereka turut didakwa secara bersama mengarahkan mangsa wanita melakukan seks oral terhadap mangsa lelaki serta melakukan pemerasan ugut dengan meminta wang RM1,250 sebagai dorongan tidak dirujuk ke pejabat agama.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 377D dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Mohd Hanafi turut didakwa mencabul mangsa wanita dan mengarahkan mangsa lelaki berbogel bagi mengaibkan kehormatannya di dalam kereta Honda Civic di lokasi sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 354 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Mohammad Izauddin pula dituduh menumbuk mangsa lelaki, mengarahkan mangsa wanita berbogel dan melakukan persetubuhan luar tabii.

Perbuatan itu dilakukan di Jambatan Pak Nik Lah dan di tempat letak kereta di sebuah masjid di Padang Tembak pada 10.45 malam hingga 12 tengah malam hari sama.

Kes itu didakwa mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

©Harian Metro

Leave a Reply