Check in di Airbnb ini untuk tidur ditemani dengungan lebah

Hebahkan !!!

GROTOLLE, Itali – Bagi meraikan Hari Lebah Sedunia, seorang penternak serangga itu menyenaraikan ladang lebah miliknya dalam perkhidmatan hospitaliti secara dalam talian, Airbnb.

Menerusi sebuah bilik yang direka khas untuk tujuan tersebut, para tetamu boleh menikmati penginapan mereka dengan bunyi dengungan lebih sejuta lebah di dalam bilik.

Terletak di sebuah ladang buah zaitun di perkampungan Grottole di selatan Itali, bilik Airbnb itu direka oleh seorang artis Davide Tagliabue menerusi dana yang dikumpul dan dibina bersama penduduk setempat.

Jelas pemilik ladang lebah itu, Rocco Filomeno, idea utama Airbnb tersebut adalah memberi peluang kepada tetamu menikmati masa tidur mereka dengan bunyi dengungan lebah yang diketahui boleh memberi kesan kelegaan.

“Airbnb ini merupakan tempat pertama di dunia yang memberikan anda tidur bersama dengungan lebih sejuta lebah.

“Dengungan lebah boleh menjadi terapi semula jadi yang boleh memberi kelegaan kepada ramai orang,” kata Filomeno menurut portal Oddity Sentral.

Para tetamu juga berpeluang menyaksikan serangga itu membina sarangnya, selain dihidangkan dengan sarapan enak termasuk madu asli.

Leave a Reply