Mangga Harumanis dari negeri lain beri pilihan kepada pasaran

Hebahkan !!!

ARAU – Kerajaan Perlis tidak melihat tanaman mangga harumanis di beberapa negeri lain sebagai satu bentuk persaingan tetapi menyifatkan ia sebagai varieti buah berkenaan yang ditawarkan dalam pasaran.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berkata mangga harumanis dari negeri ini sememangnya telah dikenali orang ramai dan mempunyai kualiti serta pasarannya yang tersendiri.

“Bagi saya mangga harumanis Perlis mempunyai kelainan sendiri dari segi keharumannya, manis mungkin sama tapi harum itu berbeza.

“Ada yang pernah cuba mangga harumanis di beberapa negeri lain seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan ada juga Johor namun kelainan di Perlis berbeza berbanding tempat lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Aidilfitri Menteri Besar Perlis Peringkat Parlimen Arau malam tadi.

Semalam, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata negeri itu menyasarkan pengeluaran 600 tan metrik semusim mangga Harumanis D’ Aman menjelang 2025 berbanding 65 tan ketika ini susulan permintaan tinggi di seluruh negara.

Dalam pada itu, Azlan berkata Perlis juga hanya mendaftarkan nama ‘Harumanis Perlis’ sebagai cap dagangannya dan ia tidak boleh digunakan oleh negeri lain. – BERNAMA

Leave a Reply