Lelaki di New Delhi dipenjara 10 tahun dera isteri

Hebahkan !!!

NEW DELHI, India – Sebuah mahkamah di selatan India pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada seorang lelaki yang didapati mendera isterinya.

Ia berhubung hantaran perkahwinan sehingga menyebabkan mangsa membunuh diri.

Mahkamah daerah di negeri Kerala mendapati Kiran Kumar bersalah di bawah undang-undang ‘kematian hantaran kahwin.’

Ia membolehkan pendakwaan terhadap individu yang menyebabkan kematian wanita dalam tempoh tujuh tahun perkahwinan dengan hantaran perkahwinan dan bayaran.

Hantaran kahwin tidak dibenarkan mengikut undang-undang, tetapi ia menjadi amalan biasa di India, di mana ia disediakan keluarga pengantin perempuan.

Kumar mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Difahamkan, Kumar sudah berkahwin dengan Vismaya Nair, kira-kira setahun sebelum Vismaya ditemukan meninggal dunia di bilik air rumah keluarga suaminya pada Jun lalu.

Keluarga Vismaya sebelum itu berjanji memberikan sejumlah emas, tanah seekar (kira-kira 0.4 hektar) dan kereta sebagai hantaran kahwin.

Namun, lelaki itu tidak berpuas hati dengan model kereta itu dan meminta lebih banyak wang, menurut dokumen mahkamah.

Mahkamah mendapati, Kumar melakukan penderaan fizikal dan verbal terhadap Vismaya.

Pada 2020, India merekodkan lebih 10,000 aduan hantaran kahwin dan hampir 7,000 ‘kematian hantaran kahwin’.

Leave a Reply