Amah di dera Datuk popular, buat laporan Polis

Hebahkan !!!

“Tenaga saya tak ada, jadi saya baring (di luar tandas), (kemudian) saya ditendang, (Datuk menjerit) bangun, jangan buat drama. Dua kali ditendang,” beliau memberitahu FMT.

Satuni kini berlindung di Kedutaan Indonesia di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, menunggu masa pulang ke kampung halaman, namun penderaan di tangan ‘Datuk’ berkenaan tidak mungkin dilupainya.

Selain penderaan fizikal, Satuni tidak dibayar walau sesen selama empat bulan bekerja di banglo milik Datuk itu, di Shah Alam.

Menurutnya, majikannya adalah ‘wanita glamour’ yang menguruskan sebuah yayasan kebajikan dan pernah menghiasi muka depan pelbagai majalah gaya hidup.

Mengimbau pengalaman peritnya, Satuni berkata dia dipukul atas alasan-alasan remeh, seperti habuk dinding jatuh ke lantai dan tidak dibersihkan.

“Ambil penyapu, splass (pukul) kepala saya tiga kali. Kata saya, Datuk, selama saya punya majikan, tak ada garang seperti kamu,” ceritanya.

Satuni yang berasal dari Indramayu, Jawa Barat menjadi mangsa agensi pembantu rumah yang mempengaruhinya bekerja di rumah Datuk berkenaan tanpa perjanjian atau kontrak.

Masalah amah didera majikan dan ‘ditipu’ agensi berkemungkinan dibendung minggu depan apabila semua pembantu rumah Indonesia dan majikan tempatan terikat kepada terma baru kontrak yang dipersetujui Malaysia-Indonesia.

Antara lain, amah warga Indonesia akan menerima gaji minimum RM1,500, waktu rehat secukupnya dan senarai tugasan ditetapkan.

Satuni dan ramai lagi pembantu rumah dinafikan segala kemudahan itu sebelum ini. Sebaliknya mereka menjadi mangsa penderaan fizikal, mental dan ada kalanya seksual.

“Pukul lima atau enam pagi sudah bangun (untuk bekerja) sampai pukul satu malam baru masuk (kembali) bilik. Sampai lupa mahu makan, mahu sarapan…nangis saya hari-hari,“ kata beliau.

Beliau berkata majikannya mempunyai tiga orang anak, termasuk anak angkat bernama V (bukan nama sebenar) – yang sering menghinanya.

Satuni berkata V akan sentiasa mengingatkan dia bahawa “saya orang miskin, menumpang, merempat di sini (Malaysia).”

Warga emas itu berkata beliau juga pernah ditampar oleh emak V kerana menegur anaknya itu.

“Saya, kalau tak ada kawan-kawan, tak tahulah (apa nasib). Siang malam saya menangis. Kalau tengah malam pun saya menangis, terfikir-fikir anak saya,” kata Satuni.

Satuni melarikan diri ke Kedutaan Indonesia dengan rakan pembantu rumah yang diambil bekerja di rumah banglo itu beberapa bulan kemudian.

Seperti Satuni, Yati (nama samaran) turut didera dan dimarah, menyebabkan kedua-dua mereka nekad untuk melepaskan diri daripada penganiayaan itu.

“Hari-hari selalu dimarahi. Setiap detik setiap jam. Kalau Datuk mahu keluar, (saya kena) pakaikan kasut di kaki. Kalau salah sedikit, itu langsung ditendang. Pakai sepatu (kasut) enggak cepatan, langsung dilempar,” kata Yati.

Yati dan Satuni bernasib baik apabila mendapat bantuan jiran yang prihatin dengan nasib mereka.

Jiran itu menawar membawa dua wanita itu keluar daripada kawasan perumahan itu untuk dihantar terus ke Kedutaan Indonesia.

Mereka merebut tawaran itu apabila Datuk berkenaan berangkat ke Mekah mengerjakan umrah sebelum Aidilfitri, 2 Mei lalu.

Setelah tinggal di kedutaan beberapa hari, Yati dan Satuni mendapat tahu pemandu, pengawal banglo dan seorang lagi pembantu rumah, semuanya warga Indonesia, turut melarikan diri dari banglo Datuk itu.

Wakil Kedutaan Indonesia memberitahu FMT, pihaknya sedang berusaha mengambil tindakan mahkamah terhadap Datuk berkenaan demi memberi keadilan kepada semua pekerja itu termasuk Satuni dan Yati.

Beliau berkata ada 33 pekerja domestik sedang mendapatkan perlindungan di kedutaan itu setelah didera atau tidak dibayar gaji.

Leave a Reply