Pencapaian kontinjen Malaysia di Sukan SEA yang terburuk sejak 63 tahun lepas

Hebahkan !!!

Pencapaian diraih kontinjen Malaysia pada Sukan SEA 2021 disifatkan sebagai terburuk sejak temasya itu diperkenalkan pada 1959, apabila mengakhiri cabaran pada kedudukan keenam keseluruhan dengan membawa pulang 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa.

Pemerhati sukan tempatan, Dr Pekan Ramli berkata walaupun berjaya melepasi sasaran 36 emas yang ditetapkan namun pencapaian itu bukan sesuatu boleh dibanggakan kerana Malaysia dianggap menghantar kontinjen yang besar kali ini terdiri daripada 589 atlet.

“Betul kita berjaya melepasi sasaran 36 emas yang ditetapkan tetapi kita berada di kedudukan keenam keseluruhan daripada 11 negara bertanding. Adakah itu standard kita berdasarkan kelebihan yang kita ada berbanding negara lain?

“Kita menghantar kontinjen yang besar kali ini berbanding Indonesia dan Singapura yang berada di atas kita. 0rang kata ini adalah pencapaian terburuk kita dalam tempoh 40 tahun tetapi berdasarkan kajian saya, ia sebenarnya adalah terburuk sejak Sukan SEA diperkenalkan iaitu 63 tahun lalu.

“Pencapaian terburuk kita sebelum ini adalah pada Sukan SEA 1983 di Singapura yang mana kita dapat 16 emas saja dan mengakhiri saingan di kedudukan keenam keseluruhan tetapi waktu itu hanya ada lapan negara dan 18 acara sukan dipertandingkan dengan 234 emas ditawarkan.

“Namun, di Vietnam, kita ada 40 acara sukan dan 525 emas yang ditawarkan tetapi kita bawa pulang 39 emas saja. Sebab itu saya katakan ini adalah pencapaian terburuk kerana kita perlu ambil kira jumlah acara sukan dan jumlah negara menyertainya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Pekan menyarankan agar satu projek khas diwujudkan bagi membolehkan Malaysia mencabar diri menjadi juara keseluruhan di luar negara.

Beliau berkata kontinjen negara tidak boleh lagi sekadar bergelar jaguh kampung dengan hanya muncul juara keseluruhan apabila menjadi tuan rumah.

Katanya, Sukan SEA seharusnya menjadi penanda aras buat atlet negara sebelum memasang impian lebih besar bagi melakar kejayaan di peringkat lebih tinggi seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik.

“Kita tidak boleh lagi menganggap Sukan SEA ini sekadar penyertaan apabila berlangsung di luar negara, kita hantar atlet sekadar untuk pendedahan. Kalau kita terus memandang rendah Sukan SEA, temasya apa lagi yang kita boleh dapat banyak emas?

“Thailand dan Indonesia sudah membuktikan yang mereka mampu muncul juara keseluruhan di luar negara. Jadi, kenapa kita tidak boleh?

“Saya berpandangan kita perlu mewujudkan satu projek khas dengan matlamat untuk muncul juara keseluruhan di luar negara. Kita tidak boleh hanya tunggu jadi tuan rumah baru jadi juara keseluruhan. Itu pun seperti semua tahu memang sudah menjadi trend negara tuan rumah akan jadi juara.

“Kita buat kajian secara terperinci mengenai perkara berkenaan, tengok atlet mana yang perlu dibangunkan untuk kita capai sasaran itu dan selepas itu kita tetapkan juga edisi mana yang kita mahu capai sasaran berkenaan.

“Jika ikut saya, belum terlambat untuk kita lakukannya pada edisi 2025 (Thailand). Kita ada tempoh tiga tahun lagi, tetapi semua kerja perlu bermula dari sekarang,” katanya kepada BH Sukan.

Sejak di perkenalkan pada 1959 yang ketika itu dikenali Sukan SEAP sebelum ditukar kepada Sukan SEA pada 1977, hanya Thailand dan Indonesia berjaya muncul juara keseluruhan apabila temasya berkenaan berlangsung di luar negara.

Thailand muncul juara keseluruhan sebanyak 13 kali dengan tujuh kali mendominasinya di luar negara. Indonesia pula yang merekodkan 10 gelaran juara keseluruhan berjaya memenanginya sebanyak enam kali bukan sebagai tuan rumah.

Malaysia hanya muncul juara keseluruhan apabila menjadi tuan rumah iaitu pada edisi 2001 dan 2017 masing-masing di Kuala Lumpur.

©Berita Harian

Leave a Reply