Kenyataan bekas Ketua Hakim Negara ‘terpisah daripada realiti’, kata Rampkarpal

Hebahkan !!!

PETALING JAYA – Ahli Parlimen DAP, Ramkarpal Singh mengkritik bekas ketua hakim negara, Mohamed Raus Sharif atas kenyataannya mengenai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dengan menyifatkannya sebagai “terpisah daripada realiti”.

Ini selepas Raus berkata bahawa pelantikan ahli politik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti agensi itu. Beliau dipercayai merujuk Latheefa Koya, yang mengetuai agensi anti-rasuah itu dari Jun 2019 hingga Mac 2020.

Ramkarpal berkata, kenyataan Raus itu menggambarkan SPRM mendapat keyakinan orang ramai sebelum pelantikan Latheefa dan menambah ia “jauh daripada kebenaran”.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu memetik tindakan Latheefa mendedahkan rakaman audio bocor antara bekas perdana menteri, Najib Razak dan bekas ketua SPRM, Dzulkifli Ahmad pada 2016, yang menurutnya, telah menjejaskan imej agensi itu.

“Tidak kira rakaman itu benar atau tidak, ia tentunya memudaratkan dan sepatutnya ditangani Raus, khasnya ketika (ketua SPRM sekarang) Azam Baki sendiri berada dalam sidang media ketika rakaman itu didedahkan.

“Tetapi kekecewaan terbesar ialah kegagalan Raus menangani masalah besar itu, iaitu kontroversi saham dikaitkan dengan Azam baru-baru ini yang mendapat kritikan orang ramai sehingga membawa kepada defisit keyakinan serius terhadap SPRM.

“Orang akan menyangka insiden sedemikian akan ditangani atau sekurang-kurangnya diulas oleh seorang bekas ketua hakim negara dalam majlis yang dihormati itu,” katanya.

Ramkarpal berkata, Raus menyalahkan pelantikan Latheefa atas kerosakan imej SPRM, tetapi beliau seolah-olah jahil mengenai persepsi orang ramai terhadap agensi itu hari ini.

Dalam Forum Anti-rasuah Malaysia ketiga semalam, Raus mendakwa beberapa peristiwa sejak empat tahun lalu menyebabkan kebebasan dan kesaksamaan SPRM dipertikaikan.

Ini katanya, bermula dengan pelantikan “ahli politik aktif” sebagai ketua SPRM yang membawa kepada persepsi meluas bahawa tindakan yang diambil oleh SPRM bermotifkan politik.

Sebelum ini, Azam didakwa membeli berjuta-juta saham dan waran dalam syarikat senaraian awam dengan nilai melebihi had RM100,000 ke atas pegangan ekuiti penjawat awam.

Panel penasihat SPRM membersihkan nama Azam daripada salah laku selepas beliau menjelaskan bahawa adiknya, Nasir, menggunakan akaunnya untuk membeli saham yang kemudiannya dipindahkan ke akaun Nasir.

Pada 18 Jan lalu, Suruhanjaya Sekuriti berkata, ia tidak dapat membuktikan sebarang pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda) berhubung pemilikan saham dalam akaun dagangan Azam.

Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, isu itu telah selesai, walaupun Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin mengesahkan polis sedang menyiasat perkara tersebut.

©Free Malaysia Today 

Leave a Reply