Enfiniti batalkan pementasan teater Muzikal Puteri Gunung Ledang

Hebahkan !!!

Syarikat produksi Enfiniti (M) Sdn Bhd mengumumkan, perancangan penerbitan musim baharu pementasan Muzikal Puteri Gunung Ledang yang sudah tertangguh hampir tiga tahun lalu terpaksa dibatalkan.

Pengurusan syarikat berkenaan memutuskan berbuat demikian selepas meneliti segala pilihan yang ada yang tidak mewajarkan teater muzikal cetusan ilham pengasasnya, Puan Sri Tiara Jacquelina itu diteruskan.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Enfiniti memohon maaf kepada semua penyokong setia karya-karya terbitan syarikat produksi itu selama ini.

“Setelah meneliti kesemua pilihan yang ada, kami dengan berat hati memaklumkan bahawa pementasan Muzikal Puteri Gunung Ledang yang sudah lama kami rancang terpaksa dibatalkan.

“Di kesempatan ini, kami merendah diri memohon maaf atas segala kesulitan dan kekecewaan yang tercetus disebabkan pembatalan ini,” kata Enfiniti dalam kenyataan itu.

Sehubungan pembatalan pementasan itu, Enfiniti akan mengembalikan semula bayaran tiket yang sudah dibeli oleh penonton secara berperingkat bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2022.

“Dalam jangka masa 14 hari, anda akan menerima kiriman e-mel daripada kami berhubung butiran dan tindakan lanjut mengenai pemulangan bayaran secara online.

“Bayaran pemulangan akan dilakukan secara sistematik bersama agensi tiket, justeru, kami memohon anda untuk bersabar sepanjang proses ini berlangsung,” jelas kenyataan itu lagi.

Syarikat produksi itu juga merakamkan penghargaan kepada semua pemegang tiket yang begitu bersabar menanti selama ini.

“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pemegang tiket Muzikal Puteri Gunung Ledang atas kesabaran dan pertimbangan anda pada saat-saat yang tidak terduga ini.

“Kami berharap agar anda akan terus menyokong industri seni persembahan yang telah terjejajs teruk sejak dua tahun lepas,” ujar kenyataan itu lagi.

Berdasarkan rancangan asal Enfiniti, pementasan Muzikal Puteri Gunung Ledang di Istana Budaya akan menampilkan muka-muka baharu untuk watak-watak utama menggantikan pelakon asalnya Tiara Jacquelina dan Stephen Rahman-Hughes.

Kali ini, Tiara memilih untuk menduduki kerusi pengarah dan beliau memberikan ruang kepada bakat-bakat baharu untuk meneruskan watak utama dalam naskhah berkenaan.

Sekalipun, belum mengumumkan nama-nama pelakon baharu yang akan beraksi di pementasan berkenaan, namun, peminat setia jenama Puteri Gunung Ledang telah berpusu-pusu membelikan tiket untuk menontonnya.

Namun, hasrat untuk Tiara dan Enfiniti mementaskannya di Istana Budaya yang mengikut jadual asal pada 2020 tidak kesampaian berikutan penularan wabak COVID-19 yang telah melumpuhkan negara dan sebahagian besar negara di dunia.

Selain Muzikal Puteri Gunung Ledang sebanyak tiga musim, Enfiniti juga pernah menerbitkan teater-teater lain seperti P. Ramlee The Musical, The Secret Life of Nora, Ola Bola The Musical.

Tiara dan syarikat produksi yang diasaskannya itu juga telah mengangkat naskhah Puteri Gunung Ledang ke layar perak pada 2004.

Filem epik arahan sutradara Saw Teong Hin dengan skrip ditulis oleh Allahyarham Mamat Khalid mencipta rekod sebagai filem Melayu paling mahal pernah diterbitkan iaitu sekitar RM20 juta.

©Astro Awani

Leave a Reply