Bas elektrik di Taiping dijangka beroperasi September nanti

Hebahkan !!!

TAIPING – Bas elektrik (EV) yang sepatutnya dijadual beroperasi di Bandar Warisan Taiping pada April tahun ini terpaksa ditunda ke September ekoran kerosakan komponen elektrik pada bas berkenaan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Khairul Amir Mohamad Zubir berkata kerosakan itu dikesan semasa kenderaan itu hendak dibawa bagi tujuan pemeriksaan di Puspakom.

“Oleh kerana bas itu lama diletakkan di dalam stor di Cyberjaya didapati berlaku kerosakan pada komponen elektrik dan pihak perunding yang dilantik oleh Jepun telah datang untuk membuat pemeriksaan dan pembaikan serta mendapatkan alat ganti yang dijangka siap sebelum Julai ini,” katanya dalam sidang media pada majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Dewan MPT di sini pada Selasa.

Khairul Amir berkata bas itu mempunyai kapasiti 22 tempat duduk dan satu tempat duduk Orang Kurang Upaya (OKU) menggunakan tenaga elektrik dalam memastikan kelestarian alam dan bandar bersih.

Bas EV itu menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya sumbangan daripada kerajaan Jepun melalui Japan International Cooperation Agency (JICA) kepada MPT dan ia akan digunakan sebagai bas pelancong khusus untuk lingkaran laluan membabitkan laluan di 33 Jejak Warisan sejauh 11.5 kilometer (km).

Pada Disember tahun lepas, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Mohd Akmal Kamarudin berkata pihak MPT dalam peringkat akhir untuk melaksanakan penggunaan bas elektrik di lingkaran jejak warisan Taiping yang akan diusahakan oleh pihak majlis sendiri dengan tujuan menjadi pemangkin kepada pelancongan warisan tempatan. – BERNAMA

Leave a Reply