Anak Panda di Zoo Negara akhirnya dapat nama

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Anak ketiga pasangan panda gergasi dari China, Xing Xing dan Liang Liang, akhirnya dinamakan Sheng Yi, selepas hampir setahun dilahirkan di Pusat Konservasi Panda Gergasi Zoo Negara, di sini.

Nama membawa maksud keamanan dan persahabatan itu diumumkan oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bersama Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujin.

Anak ketiga kepada Xing Xing dan Liang Liang, pasangan panda gergasiyang berada di Malaysia sejak 2014 itu akan berusia setahun hujung minggu ini dan kini mencapai berat melebihi 27 kilogram.

Takiyuddin berkata, kerajaan Malaysia berharap Sheng Yi akan dapat mengerat dan mengukuhkan lagi persahabatan Malaysia dan China.

“Hari ini adalah hari bersejarah bagi hubungan diplomatik Malaysia dan China apabila anak ketiga pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang yang dilahirkan 31 Mei 2021 dinamakan,” katanya pada satu majlis di Zoo Negara, hari ini.

Selain Sheng YI, pasangan Xing Xing dan Liang Liang mempunyai dua lagi anak dilahirkan di Malaysia, iaitu Nuan Nuan yang lahir pada 18 Ogos 2015 dan Yi Yi pada 14 Januari 2018.

Nuan Nuan sudah dihantar pulang ke China pada 14 November 2017, manakala Yi Yi sepatutnya dibawa pulang ke negara itu pada April 2020, namun terpaksa ditangguhkan kerana China menutup pusat konservasinya akibat pandemik COVID-19 ketika itu.

Perjanjian Kerjasama Antarabangsa Konservasi panda gergasi di antara Malaysia dan China melalui Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China (CWCA), dimeterai untuk tempoh 10 tahun bermula 2014 yang juga tahun ketibaan Xing Xing dan Liang Liang di negara ini.

Persetujuan China meminjamkan pasangan panda gergasi kepada Malaysia membuktikan hubungan istimewa yang terjalin antara kedua-dua negara sejak hubungan diplomatik diwujudkan pada 1974.

©Berita Harian

Leave a Reply