Vladimir Putin dijangka dimasukkan ke pusat pemulihan penyakit kronik

Hebahkan !!!

MOSCOW, Russia – Seorang bekas ketua MI6 terkemuka meramalkan Presiden Russia, Vladimir Putin akan dihantar ke pusat pemulihan kesihatan bagi mengelakkan rampasan kuasa untuk menggulingkan kerajaan pimpinannya.

Memetik laporan Mirror, Richard Dearlove mendakwa pemimpin tertinggi Russia itu berkemungkinan ditempatkan di sebuah kemudahan perubatan yang merawat pesakit dengan penyakit kronik, menjelang tahun depan.

Dalam rancangan One Decision yang disiarkan secara dalam talian, bekas ketua Perkhidmatan Perisikan Rahsia Britain itu mendakwa Putin tidak lama lagi akan meninggalkan pejabat untuk menerima rawatan perubatan.

“Saya rasa Putin akan masuk ke pusat pemulihan kesihatan pada 2023 yang mana beliau tidak akan muncul sebagai pemimpin Russia lagi.

“Saya tak kata beliau tidak akan keluar dari pusat pemulihan itu, namun beliau tidak akan muncul sebagai pemimpin Russia lagi.

“Itulah cara untuk meneruskan agenda kerajaan tanpa rampasan kuasa,” katanya dalam rancangan itu.

Sebelum ini, khabar angin mengenai keadaan kesihatan pemimpin itu berlegar sehingga beberapa laporan mendakwa Putin menghidap kanser, menjalani rawatan kemoterapi dan steroid.

Laporan lain turut mendakwa presiden Russia itu menghidap penyakit Parkinson atau demensia peringkat awal.

Sementara itu, satu kaji selidik baharu terhadap keadaan Putin mendakwa tahap kesihatan pemimpin itu semakin merosot selama lebih lima tahun.

Kajian itu turut mendakwa Presiden Russia itu menghilangkan diri dari khalayak umum selama beberapa minggu sejak 2017.

Kajian tersebut dijalankan oleh saluran media bebas Russia, Proekt yang meneliti ketidakhadiran Putin serta lawatannya ke pakar perubatan.

Leave a Reply