Siasatan terhadap Nazlan lengkap, SPRM rujuk peguam negara

Hebahkan !!!

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkata pihaknya telah menyelesaikan siasatan berhubung dakwaan melibatkan hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Ghazali.

Dalam sebuah kenyataan, agensi anti rasuah itu berkata siasatan yang dimulakan sejak Mac lalu turut mengumpulkan bukti-bukti berkaitan kes mengikut panduan dan prosedur yang ditetapkan.

Menurutnya, kertas siasatan yang telah disediakan pihaknya telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara pada 18 Mei 2022 lalu bagi tindakan selanjutnya.

Sebelum ini, SPRM berkata ia tertakluk dengan prosedur untuk menyiasat sebarang laporan atau aduan walaupun terhadap penjawat awam termasuk hakim.

Siasatan dijalankan selepas mendapat aduan membabitkan Nazlan, hakim yang bertanggungjawab menyampaikan sabitan dan hukuman ke atas bekas perdana menteri Najib Razak pada Julai 2020 ketika beliau masih menjadi hakim Mahkamah Tinggi.

Najib disabitkan bersalah bagi kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Nazlan disiasat SPRM selepas badan itu menerima laporan berhubung dakwaan wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaunnya.

Leave a Reply