Peniaga ayam terpaksa utamakan pelanggan tetap

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Peniaga ayam terpaksa memberikan keutamaan kepada peniaga restoran yang juga pembeli tetap mereka berikutan kekurangan bekalan bahan mentah itu sejak kebelakangan ini.

Menurut laporan Berita Harian di Pasar Basah Dato Keramat di sini, hari ini mendapati rata-rata peniaga berkata perkara itu terpaksa dilakukan kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain.

Mereka juga risau jika isu kekurangan stok bekalan ayam ini akan berlarutan namun difahamkan bekalan daripada penternak akan pulih esok.

Peniaga ayam yang sudah berniaga lebih 20 tahun, Rosli Mat, 51, berkata stok bekalan ayam segar yang dia dapat daripada pembekal hari ini hanya mampu dijual kepada pembeli tetap.

“Hari ini saya dapat 50 ekor daripada pembekal dan semuanya saya jual kepada peniaga restoran, tiada lebihan yang dapat saya jual untuk pengunjung biasa,” katanya kepada BH.

Ditanya punca kekurangan stok ayam, dia berkata, pembekal tidak memberitahu alasan mereka.

“Saya pun tak tahu sebab apa sebab pembekal tidak beritahu. Saya takut salah cakap. Saya hanya tahu tiga hari penternak tidak keluarkan ayam dan esok bekalan ayam akan pulih seperti biasa” katanya.

Selain itu, peniaga terpaksa jual ayam pada harga RM11 sekilo, lebih daripada harga siling ditetapkan.

“Bukan apa, sekarang beli dari pembekal pun RM 9.20, takkan kami jual dengan harga RM 8.90,” katanya.

Pembeli, Harun Mohd Ishak, 74, berkata walaupun harga ayam yang dijual adalah tinggi berbanding harga siling, dia terpaksa membeli kerana ayam adalah makanan harian keluarganya.

“Harga ayam yang ditetapkan kerajaan adalah RM8.90 tetapi harga di pasaran yang peniaga terima RM9 lebih, macam mana mereka nak jual dengan harga RM8.90,” katanya yang berharap ada penyelesaian tuntas daripada kerajaan.

Selain itu, katanya, stok bekalan ayam kurang disebabkan kekurangan makanan ayam yang diimport. Justeru, kerajaan perlu ambil langkah untuk memastikan ada pengeluaran tempatan bagi makanan ayam.

“Sebagai contoh luaskan penanaman jagung, gunakan bahan buangan kelapa sawit, hempa padi dari kilang, semua boleh jadi makanan ayam,” katanya.

Seorang lagi pembeli yang hanya mahu digelar Rini, 47 berkata sebagai peniaga yang berniaga secara kecil-kecilan, isu kenaikan harga ayam ini amat membebankan.

“Saya hanya jual nasi berlauk dan pendapatan tidak begitu banyak, jadi kalau harga ayam mahal, macam mana saya nak balik modal,” katanya.

Dia berkata, pada Ramadan dia membeli ayam dengan harga RM9 sekilo, namun kini ayam yang dibeli berharga RM11 sekilo.

Sementara itu, tinjauan bekalan ikan yang dikatakan pendaratannya di Semenanjung merosot sehingga 70 peratus mendapati bekalan ikan di sini masih ada dan harganya masih dalam kawalan.

Seorang pekerja di gerai ikan, Nik Muhamad Ismail, 33, berkata majikannya masih dapat stok ikan daripada pemborong di Pasar Selayang semalam.

Dia berkata, semua pasar borong tutup pada setiap Isnin, jadi kami dapat semua stok ini semalam.

“Untuk setakat ini, stok ikan masih ada dan tidak kritikal seperti ayam dan harga pun macam biasa,” katanya.

©Berita Harian

Leave a Reply