Kerajaan disaran kaji kelemahan Akta Perlindungan Data Peribadi

Hebahkan !!!

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran mengkaji kelemahan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) dan undang-undang lain berkaitan untuk menangani dakwaan kebocoran serta penjualan data peribadi pemegang kad pengenalan Malaysia dalam Internet.

Ia adalah antara tiga cadangan dikemukakan Transparency International Malaysia (TI-M) yang menggesa komitmen kerajaan, susulan dakwaan itu yang tular, baru-baru ini, dan isu ancaman yang dilihat berulang terhadap privasi data peribadi rakyat Malaysia.

TI-M menyifatkan isu itu menunjukkan kurangnya kejelasan dan kesungguhan daripada kerajaan untuk memberi pendedahan secara telus serta membincangkan penyelesaian terbaik berhubung ancaman privasi data berkenaan.

“Kabinet harus mengkaji kelemahan PDPA dan undang-undang lain yang sedia ada, selain membincangkan hasil dapatan dan cadangan penyelesaian bagi menyokong serta mengukuhkan kerangka yang ada.

“Seterusnya, penyiasatan telus terhadap pelanggaran itu sangat diperlukan, dan hasil siasatan harus dikongsi dengan rakyat.

“Selain itu, sistem keselamatan siber yang lebih utuh perlu dilaksanakan bagi memastikan pelanggaran terbabit tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut TI-M, laporan satu laman sesawang teknologi baru-baru ini mendakwa set data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengandungi maklumat seluruh rakyat lahir antara 1940 hingga 2004 membabitkan kira-kira 22.5 juta orang, dijual secara talian dalam forum pasaran pangkalan data.

Katanya, data peribadi berkenaan didakwa meliputi nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat dan gambar, malah data daripada laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dikatakan turut dijual.

“Penjual juga mendakwa data itu diperoleh daripada MYIdentity yang dilaporkan sebagai platform perkongsian data ditubuhkan bagi sektor awam yang membolehkan agensi mendapatkan maklumat peribadi daripada repositori berpusat.

“Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dipetik memaklumkan bahawa 104 agensi diberi kebenaran menggunakan platform itu. Polis dilaporkan sedang menyiasat dakwaan ini,” katanya.

TI-M berkata, media sebelum ini juga melaporkan dakwaan penjualan data peribadi pendaftaran dan pengundi, termasuk membabitkan empat juta rakyat Malaysia, pada September 2021 dalam laman sesawang Raidforums.

“Namun, pasaran ini telah digagalkan melalui operasi global yang diketuai oleh Amerika Syarikat pada 2022,” katanya.

Leave a Reply